Jalur Gemilang
Berita :
Naik Taraf Fasiliti Sekolah Sukan Bukit Nenas Masuk Fasa Akhir
Naik Taraf Fasiliti Sekolah Sukan Bukit Nenas Masuk Fasa Akhir
Nik Muhammad Ziyad Nik Abdul Ghafar
3 jam yang lepas
39

SETIU – Projek menaik taraf fasiliti sukan di Sekolah Sukan Bukit Nenas yang melibatkan peruntukan melebihi RM9 juta kini dilaporkan telah memasuki fasa akhir pelaksanaan.

Kerja-kerja naik taraf yang dimulakan sejak tahun lalu itu merupakan hasil kelulusan selepas isu keperluan kemudahan berkenaan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Setiu di Dewan Rakyat serta menerusi sesi Kamar Khas sekitar tahun 2023.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi beliau, penyediaan fasiliti yang lebih moden dan lengkap itu bakal memberi manfaat besar kepada para pelajar serta atlet untuk menjalani sesi latihan dalam persekitaran yang lebih selesa dan berkualiti.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan Majlis Sukan Negeri Terengganu memaklumkan bahawa usaha memperkasakan prasarana sukan negeri turut diteruskan dengan membawa isu keperluan menaik taraf Stadium Hoki Terengganu ke sidang Parlimen.

Jelasnya, negeri Terengganu mempunyai potensi dan kekuatan tersendiri dalam arena sukan hoki, justeru ketersediaan kemudahan stadium yang bertaraf lebih baik amat diperlukan bagi menyokong pembangunan bakat atlet secara berterusan.

“Antara fasiliti sukan lain yang turut diluluskan di Parlimen ialah kerja-kerja menaik taraf kemudahan Stadium Hoki Terengganu,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa komitmen untuk memperkukuh kemudahan infrastruktur sukan akan terus diberi keutamaan demi menjamin kecemerlangan prestasi atlet serta masa depan sukan di negeri ini secara keseluruhannya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan