KUALA TERENGGANU, 16 November – Terengganu buat pertama kalinya melantik wakil masyarakat bukan Islam sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan apabila Chan Chee How mengangkat sumpah pada persidangan DUN, hari ini.
Chan, Ahli Jawatankuasa Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Terengganu yang menetap di Chukai, Kemaman, dilantik bagi membawa suara dan kepentingan masyarakat bukan Islam, khususnya komuniti Cina, ke dewan negeri.
Pelantikannya membuka ruang kepada komuniti berkenaan untuk terlibat secara langsung dalam perbahasan dasar serta membangkitkan isu yang menyentuh kehidupan mereka.
Berlatarbelakangkan bidang perniagaan, Chan memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dengan Kepujian dan kini merupakan seorang ahli perniagaan.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Pengurus Perhubungan Awam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 10 dari 2022 hingga 2025, selain mempunyai pengalaman dalam pengurusan syarikat dan jualan.
Chan turut menguasai bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin serta dialek Hakka.
Beliau mengisi kedudukan ADUN lantikan berdasarkan peruntukan Fasal 27(2) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Pertama).
Langkah itu memperluas perwakilan dalam DUN Terengganu, selain memberi saluran kepada masyarakat bukan Islam untuk mengemukakan pandangan mengenai pentadbiran dan pembangunan negeri.
Terdahulu, Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan keputusan kerajaan negeri untuk melantik wakil masyarakat Cina daripada Gerakan sebagai ADUN lantikan.
Menurutnya, pelantikan itu bertujuan membolehkan komuniti berkenaan mempunyai suara dalam institusi perundangan negeri.