DUN Terengganu Lulus RM450 Juta Perbelanjaan Rancangan Pembangunan Negeri 2027
Mohd Irsyadi Abu Bakar
2 jam yang lepas
121
KUALA TERENGGANU, 16 November - Usul Perbelanjaan Rancangan Pembangunan Negeri bagi tahun 2027 sebanyak RM450 juta diluluskan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke Lima Belas (Bajet) yang bermula hari ini.
Usul menurut Seksyen Kecil (3) kepada Seksyen (4) Akta Kumpulan Wang Pembangunan Tahun 1966 itu dicadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Dato' Satiful Bahri Mamat dan disokong ADUN Jerteh, Dr Ridhuan Mohd Noor.
Usul berkenaan mengetengahkan jumlah besar perbelanjaan pembangunan melibatkan enam jabatan utama berikut iaitu Jabatan Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan sebanyak RM418 juta.

Sebanyak RM9.5 juta diluluskan bagi Pejabat Tanah dan Galian Negeri Terengganu.
Manakala, bagi Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu dan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Terengganu, peruntukan masing-masing sebanyak RM2.35 juta dan RM200,000.
Selain itu, RM6.6 juta diluluskan bagi pelbagai pembangunan, menjadikan jumlah kecil perbelanjaan pembangunan adalah sebanyak RM437,174,990.
Bagi pembangunan bekalan air pula, RM12.825 juta diluluskan dari Kumpulan Wang Perbekalan Air Negeri untuk Rancangan-rancangan Kemajuan Air Negeri bagi tahun 2027.