KUALA TERENGGANU, 14 November – Titian Baru FC berjaya menebus kekecewaan tahun lalu apabila muncul juara Piala ADUN Bukit Payong selepas menewaskan Atas Tol FC menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 dalam aksi final di Padang Kampung Laut, hari ini.
Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang dengan saling berbalas serangan sejak wisel permulaan.
Titian Baru FC terlebih dahulu membuka jaringan pada pertengahan separuh masa pertama menerusi sepakan percuma pemain pertahanan Harris Mat Rasid untuk mendahului 1-0.
Bagaimanapun, Atas Tol FC bangkit menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua menerusi tandukan kapten pasukan, Muhammad Alif Farhan Fauzi, yang menyudahkan sepakan percuma rakan sepasukan dari kawasan tengah padang.
Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan, sekali gus memaksa penentuan menerusi sepakan penalti yang akhirnya menyaksikan Titian Baru FC menang 5-4 untuk membawa pulang gelaran juara.
Jurulatih Titian Baru FC, Zamani Hussin, 46, berkata kejayaan itu cukup bermakna buat pasukannya selepas melalui perjalanan yang penuh dengan jatuh bangun dalam saingan Piala ADUN Bukit Payung.

Menurutnya, Titian Baru FC pernah muncul juara pada edisi 2018 selepas menewaskan Kampung Tok Rimau dan sekali lagi menjulang kejuaraan pada 2022 dengan menewaskan Surau Panjang.
Bagaimanapun, mereka terpaksa akur sebagai naib juara pada edisi 2025 selepas tewas kepada Sena Rendang FC dalam perlawanan akhir Piala ADUN Bukit Payong.
Namun, kekecewaan itu berjaya ditebus pada tahun yang sama apabila Titian Baru FC bangkit menjuarai Piala Tok Guru Ahli Parlimen Marang 2025.
“Insya-Allah, tahun ini kami akan berusaha untuk menjuarai Piala Tok Guru sekali lagi,” katanya.
Titian Baru FC turut mewakili Marang dalam saingan Piala Menteri Besar Terengganu 2026, namun perjalanan mereka terhenti di peringkat separuh akhir selepas tewas 1-2 kepada wakil Besut.
Dalam kejohanan kali ini, penjaga gol Titian Baru FC, Muhammad Rizal Azraei, dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan hasil persembahan cemerlangnya sepanjang pertandingan.
Kejayaan itu turut membolehkan Titian Baru FC membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,500.
