• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Amaran Fasa Peralihan Monsun Di Pantai Timur

KUALA TERENGGANU, 23 September - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan negara termasuk negeri di Pantai Timur mengalami ribut petir dan hujan lebat yang lebih kerap pada petang dan awal malam Fasa Peralihan Monsun bermula hari ini.

Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah berkata, fasa yang berterusan sehingga awal November 2021 menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 19 Mei 2021.

“Semasa fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat serta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

“Jangkaan jumlah hujan di negeri Pantai Timur semasa Peralihan Monsun pada Oktober 2021 ialah antara 200 hingga 400 mm.

“Namun begitu kebanyakkan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak turut terlibat berpotensi dilanda banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya dalam satu kenyataan media, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Muhammad Helmi menasihati untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya lagi.

Menurutnya, MetMalaysia turut Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh yang akan bermula pada awal November ini hingga Mac tahun hadapan.