• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Amaran Hujan Berterusan Di Terengganu Bermula Esok

KUALA TERENGGANU, 1 Disember - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat kuning di seluruh negeri Terengganu bermula esok.

MetMalaysia dalam satu kenyataan di laman Facebook berkata, amaran cuaca tersebut dijangka berlarutan sehingga Jumaat di semua kawasan.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat berkata, semua agensi kerajaan di peringkat daerah telah bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan banjir.

“Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), bulan disember ini dijangka hujan hampir 1000 mm belum lagi didapati belum turun.

“Saya mengharapkan kepada semua rakyat khususnya yang tinggal di tanah rendah agar segera berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sebelum paras air meningkat, ini bagi memastikan tiada tercicir akhir saat terutamanya pada waktu malam.

“Kedua, penduduk berdekatan kawasan sungai agar waspada fenomena kepala air, kurangkan beriadah bersama keluarga pada musim Monsun Timur Laut ini,” katanya lagi.

Jelasnya, pelbagai agensi seperti Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Khidmat Malaysia Terengganu akan sentiasa bersedia untuk memberi bantuan jika perlu.