• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Amaran Hujan Berterusan Di Terengganu Sehingga Khamis

KUALA TERENGGANU, 14 Disember – Setelah melalui fasa cuaca tenang baru-baru ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) kembali mengeluarkan amaran hujan berterusan kategori waspada di Terengganu bermula hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah, berkata sistem cuaca tekanan rendah yang terbentuk di perairan barat Sarawak dijangka bergerak ke arah barat menghampiri kawasan perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang 15 Disember ini.

Katanya, sistem itu dijangka merentasi kawasan utara Semenanjung menuju ke Laut Andaman pada 17 Disember ini.

"Keadaan ini menyebabkan peningkatan kelembapan dan hujan lebat berterusan di kebanyakan kawasan di Pantai Timur serta risiko kenaikan paras laut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, angin bertiup dari arah Timur Laut dijangka berpotensi membawa hujan berterusan dan angin kencang yang boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah di beberapa kawasan terbabit.

Jelasnya, pihaknya mengeluarkan Amaran kategori dua (angin selaju 50-60 kilometer sejam dan ombak setinggi 3.5-4.5 meter) di negeri ini.

"Bagi negeri pantai timur itu, amaran waspada akan berkuat kuasa sehingga Khamis ini," katanya lagi.