• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Ambil Iktibar Pelaksanaan Haji Untuk Terus Bersatu Hati- Sultan Mizan

KUALA NERUS, 13 Jun- Jemaah haji dari Terengganu dinasihatkan supaya menjaga nama baik  dengan menjaga akhlak dan tidak melakukan anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej negara.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah mereka perlu mengambil iktibar sepanjang menjalani ibadat berkenaan di tanah suci itu nanti untuk terus bersatu hati tanpa melihat sebarang perbezaan.

"Beta juga meminta bakal jemaah haji untuk sentiasa menjaga akhlak dan jauhi segala anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej serta nama baik negeri Terengganu.

"Semua jemaah harus mematuhi dan menghormati peraturan serta undang-undang yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi demi menjaga hubungan kedua-dua negara yang sudah lama terjalin," titah baginda yang disampaikan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail ketika menyempurnakan majlis pelepasan jemaah haji ke Tanah Suci, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengurus Besar (Bahagian Syariah) Lembaga Tabung Haji Malaysia, Imran Mohammad Khayat

Seramai 804 jemaah haji dari Terengganu berpeluang menyempurnakan rukun Islam kelima itu pada tahun ini.

Penerbangan pertama yang membawa 142 bakal jemaah haji itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 8.45 malam pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, Sultan Mizan berkenan memuji komitmen Tabung Haji (TH), agensi kerajaan dan swasta dalam mengekalkan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah haji walaupun sudah dua tahun tertangguh.

"Beta berharap TH akan meneruskan usaha-usaha memantapkan sistem pengurusan haji agar sentiasa di tahap cemerlang dan menjadi contoh kepada negara-negara Islam lain di seluruh dunia," titah baginda.