• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Ambil Iktibar Peristiwa Hijrah Rasulullah SAW


KUALA TERENGGANU - Umat Islam harus mengambil pengajaran daripada peristiwa hijrah yang menyaksikan Rasulullah SAW menempuh pelbagai dugaan demi menegakkan syiar Islam.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali berkata, selain kecekalan Rasulullah SAW, semangat perpaduan yang ditunjukkan umat terdahulu harus dijadikan contoh masyarakat Islam di negara ini.

 “Bersesuaian dengan tahun baru Hijrah ini maka kita perlulah mengambil iktibar dan merenung kembali peristiwa hijrah Rasullullah SAW dari Makkah ke Madinah.

“Bagaimana baginda dan para sahabat bersusah payah berkorban dan berjuang untuk menegakkan agama Allah SWT di mana asas utamanya, umat Islam mesti bersatu dan jangan berpecah,” ujarnya kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, semalam.

Justeru katanya, bersempena dengan ketibaan 1 Muharram 1440H ini, beliau ingin mengambil kesempatan untuk menyeru kepada diri sendiri serta seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) khususnya untuk menanam keazaman dan komitmen bagi melakukan perubahan ke arah yang lebih baik khususnya di dalam soal mentadbir dan memajukan negeri seiring dengan kehendak rakyat seterusnya mendapat keredhaan Allah SWT.

Ini juga merupakan suatu keazaman kerajaan baharu supaya dengan Sambutan Maal Hijrah ini kerajaan akan lebih bersungguh melaksanakan perintahNya.

“Dengan motto Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera, rakyat diharap turut bersama menjadikan Terengganu lebih ke depan berbanding negeri lain dari segi kemajuan, mendapat keberkatan Allah dan rakyat mendapat sejahtera daripada apa yang dilakukan oleh kerajaan,” ujarnya.

Katanya, seluruh ADUN juga diharapkan dapat bersatu dan lebih komited untuk melaksanakan perkara yang diputuskan dalam DUN supaya Terengganu menjadi sebuah negeri Darul Iman dalam erti kata yang sebenar.




Tag: