• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Ambil Peluang Jadi Usahawan

Mohd Norhuzaini ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Latihan Pembentukan Usahawan (LPU) Modal 3 (Rancangan Perniagaan) di Hotel Permai Inn pada 10 Oktober..
KUALA TERENGGANU - Para peserta Kursus Rancangan Perniagaan Program Usahawan Graduan Terengganu (PGUT) mestilah mengambil peluang sebaik mungkin untuk menjadi usahawan yang berjaya.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, setiap orang perlu ada kesungguhan untuk mencapai cita-cita tersebut.

“Untuk menjadi seorang usahawan, ada dua nilai tambah kebanyakan orang terlepas pandang. Yang pertama kena fokus dan yang kedua kena ada minat dan ilmu.

“Kita mesti tunjuk proposal yang berpijak di bumi nyata untuk menjadi usahawan yang berjaya serta kena ada niat dan amalkan sedekah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Latihan Pembentukan Usahawan (LPU) Modal 3 (Rancangan Perniagaan) di Hotel Permai Inn pada 10 Oktober.


Katanya, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan  Majlis Amanah Rakyat (MARA) khususnya berusaha untuk melahirkan usahawan muda selaras dengan hasrat kerajaan negeri.

“Usaha yang ditunjukkan oleh MARA ini adalah satu usaha yang sangat murni kerana bukan sekadar untuk menampung kegiatan yang kita rancangkan tetapi menjadi pemangkin utama dalam melahirkan lebih  ramai lagi usahawan muda dalam Negeri Terengganu.

“Kita kena rasa bertuah kerana di luar sana ramai lagi orang yang hendakkan ilmu yang dicurahkan. Besar pengharapan saya mewakili pihak kerajaan negeri agar (peserta) tidak mempersiakan usaha ini,” ujarnya.

Menurutnya, nilaian wang ringgit memang kecil jika nak dibandingkan dengan pengalaman dan ilmu yang diperoleh daripada kursus tersebut.

“Duit kita boleh cari, tetapi ilmu yang dapat bila kita kembangkan boleh menatijahkan nilaian yang sebenarnya," jelasnya.

Tambahnya, seorang usahawan mestilah fokus apa yang dimahukan dan ilmu perlulah dicari bukan datang dengan sendiri. Kerjaya sebagai  usahawan bukan semata-mata kerana keuntungan tetapi biarlah dapat membantu orang lain.

“Di samping itu, mesti ada restu ibu bapa, yang ini kadang-kadang kita terlepas pandang.

“Nanti dah berjaya baru nak cakap dekat mak ayah. Kita tak sedar bahawa doa mereka adalah pembuka jalan kepada kejayaan kita.

"Justeru, seorang usahawan perlu menjaga hubungan dengan ibu bapa. Insya-Allah, mudah-mudahan berjaya di dunia di akhirat," ujarnya.




Tag: