• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Ambil Tindakan Segera Elak Insiden Pokok Tumbang Berulang

KUALA TERENGGANU, 4 November - Operasi besar-besaran memangkas pokok besar di sekitar kawasan Bandar Raya Kuala Terengganu sedang giat dilakukan bagi mengelak insiden pokok tumbang berulang lagi di musim tengkujuh. 

Ahli Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT), Mohd Azrin Mohd Aris berkata kerja-kerja berkenaan dilaksanakan rentetan daripada perkara yang disuarakan pihaknya baru-baru ini. 

"Apabila tiba musim tengkujuh, hujan dan ribut berlaku, banyak pokok-pokok besar tumbang dan boleh membahayakan orang ramai, jadi pihaknya dengan kerjasama MBKT, memangkas pokok-pokok besar dalam mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku," ujarnya. 

Azrin berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa meninjau kerja-kerja berkenaan dilakukan di Taman Awam Batu Buruk di sini hari ini.

Turut hadir sama ialah Mohamad Umbaidah Tengah, Jefri Chua dan Khairuddin Mohamad yang juga Ahli Majlis MBKT. 

Kata Azrin, MBKT telah menghantar dua buah 'skylift' dan beberapa buah lori sampah dan lori 'roro'. 

"Terima kasih kepada MBKT khususnya kepada Datuk Bandar, Pengarah Kesihatan Persekitaran MBKT, Abdul Fatah Husain dan Pengarah Landskap MBKT, Mohd Shahril Mohd Yusof yang bertungkus lumus menjayakan program pada pagi ini . 

"Insya-Allah kita mengharapkan agar kerja-kerja memangkas pokok ini bukan sahaja dilaksanakan di Taman Awam Batu Buruk sahaja malah juga di kawasan-kawasan yang boleh dikatakan 'hotspot' bagi pokok-pokok tumbang ini," ujarnya. 

Menurut Azrin, pihaknya akan sentiasa bekerjasama dengan MBKT dan pemantauan akan terus dilakukan dari masa ke semasa. 

"Program berkenaan turut juga dilaksanakan di Taman Shah Bandar dan di kampung-kampung, kerja-kerja sebegini agak giat dilakukan kebelakangan ini," jelasnya lagi.


Tag: