• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Amphibia Qber II Kini Sedia Hadapi Banjir Di Hulu Terengganu

HULU TERENGGANU, 3 September - Bot dwifungsi darat-air Amphibia Qber II kini lebih efisien dan praktikal digunakan untuk operasi membantu semasa tragedi banjir. 

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata,  ia  adalah kesinambungan kepada hasil rekacipta bot dua alam Amphibia Qber versi pertama yang telah dihasilkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu  sebelum ini terbukti berjaya digunakan semasa penugasan operasi bencana banjir di daerah ini sejak 2018.

Katanya, projek inovasi terbaru
yang diketuai Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd  Adli Mat Daud ini dibina dengan menggunakan bahan-bahan terpakai seperti besi dan komponen kenderaan melibatkan kos sebanyak RM20 ribu  yang mengambil masa enam bulan untuk disiapkan. 

"Ia juga boleh digunakan atas darat, air dan termasuk di kawasan yang agak sukar dilalui dan sempit kerana saiznya lebih praktikal dan  kecil dari Amphibia Qber versi pertama dahulu.

"Amphibia Qber II ini turut dilengkapi dengan peralatan penugasan operasi
menyelamat di permukaan air serta memiliki ciri-ciri pelbagai guna, efisien, selamat dan mengikut inspirasi keperluan sebenar ketika melaksanakan pelbagai fungsi penugasan semasa banjir," ujarnya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Perasmian Produk Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK)(Amphibia Qber II) di Pengkalan Lawit, Tasik Kenyir, di sini hari ini.

Sementara itu,  Mohd Adli  berkata idea kreatif ini terhasil daripada pengalaman sebenar, pemerhatian dan pengenalpastian masalah oleh kumpulan inovasi Team Amphibia Qber.

Menurutnya, pembinaan bot pelbagai guna ini adalah untuk digunakan sebagai aset pengangkutan darat dan air oleh pasukan petugas operasi bencana banjir.

"Objektif utama kegunaan bot ini adalah bagi tujuan mengharungi kawasan jalanraya yang terputus-putus akibat ditenggelami banjir," ujar beliau.