• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Amzad Tuntut Penjelasan Anwar Berhubung ECER

KUALA LUMPUR, 13 September - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menuntut penjelasan daripada Perdana Menteri berhubung hala tuju semasa Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Ahmad Amzad berkata, beliau dimaklumkan sehingga kini Datuk Seri Anwar Ibrahim masih gagal mempengerusikan mesyuarat ECER bagi meluluskan sesuatu pembangunan.

Katanya, pembangunan akan terbantut sekiranya benar ECER tidak diberi perhatian.

“Tadi ada Ahli Parlimen beritahu, Perdana Menteri sibuk, saya nak tanya sibuk dengan apa, sibuk dengan politik?, tapi masih ada masa ke sana ke sini. ECER penting, ini soal untuk membangunkan wilayah.

“Kalau Perdana Menteri tidak mengadakan mesyuarat, macam mana pembangunan nak dibincang dan diluluskan. Ini satu tindakan yang mendiskriminasikan hak pembangunan untuk wilayah timur.

"Tindakan ini jelas menunjukkan kerajaan memang menafikan hak pembangunan negeri-negeri yang tidak dimenangi PH-BN,” katanya ketika membahaskan laporan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK-12 yang dibentangkan Anwar pada Isnin.

Menurutnya lagi, beliau tiada masalah jika projek pembangunan selalu diumum di negeri dimenangi PH-BN asalkan negeri pembangkang turut diberi perhatian sama.

“Pada Isnin Perdana Menteri mengumumkan pembangunan pelabuhan baru di sebuah negeri, saya tidak membantah, tetapi bagaimana pembangunan yang memberi impak besar di sebelah pantai timur.

“Mengapa tidak dikembangkan pelabuhan semula jadi yang ada di Kemaman,” tegasnya.

Beliau turut membangkitkan soal royalti  bagi Terengganu yang disifatkannya seolah-olah ada permainan di sebalik perjanjian asal.

“Rakyat dan masyarakat antarabangsa melihat bagaimana perjanjian ini dimain-mainkan,” jelasnya.


Tag: