• 06 Okt 2024 | 03 Rabiul Akhir 1446

Anak Ikan Paus Ditemui Terdampar Di Pantai Merchang

MARANG, 23 Disember – Beberapa kakitangan sebuah resort persendirian dikejutkan dengan penemuan seekor anak ikan paus dianggarkan seberat kira-kira satu tan di Pantai Merchang, di sini hari ini. 

Dalam kejadian pada pukul 10 pagi itu, mamalia berkenaan berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan berikutan keadaannya yang terlalu lemah. 

Pemilik resort, Abd. Latif Jamaludin berkata, beliau menghubungi Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Dungun dan mereka bergegas ke lokasi untuk menyelamatkan anak ikan paus tersebut.

"Saya bersama beberapa kakitangan, pengunjung resort dan orang kampung cuba menolak ikan paus itu ke laut, namun keadaannya terlalu lemah untuk berenang jauh, lalu hanya terdampar di pantai.

"Usaha menolak mamalia itu ke laut turut dilakukan kakitangan Jabatan Perikanan tetapi masih gagal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Tambah beliau, anak ikan paus ini adalah penemuan kali kedua kerana pihaknya pernah menemui bangkai paus di lokasi sama pada tahun 2017.

Sementara itu, Pengarah FRI Rantau Abang, Sharum Yusof berkata, anak ikan paus berkenaan, bagaimanapun gagal diselamatkan dan siasatan lanjut dilakukan terhadap bangkainya.