• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Anak Istimewa Nur Sofeatul Dapat Perhatian Adun Ajil




Tidak seperti anak yang lain saat dilahirkan ke dunia, Nur Sofeatul Aiesha terpaksa menanggung derita kerana menghidap penyakit lebihan cecair dalam kepala atau lebih sinonim dengan penyakit kepala besar.

Anak istimewa itu mendapat perhatian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Ghazali Taib dan isteri, Bibi Nazima Mohamed Akbal yang melakukan kunjungan ke rumahnya, di Taman Ajil Perdana, Pekan Ajil, hari ini.

Ibu bayi berkenaan, Nurfaiz Mohd Rani, 33, berkata anaknya yang berusia dua tahun itu dikesan mengidap 'Alobar Holoprosencephaly' sejak berada dalam kandungannya setelah pemeriksaan ultrasound dijalankan pada usia kandungan 38 minggu.

“Kini pada usia dua tahun, berat badannya cuma sembilan kilogram (kg) tapi kepalanya seberat empat kg sehingga menyukarkan pergerakannya.

"Sebagai ibu sudah tentu saya sedih melihat keadaan anak saya namun apakan daya, ini ujian Allah SWT dan saya perlu tabah menghadapinya,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya sempena kunjungan tersebut.

Menurut Nurfaiz, anaknya itu kini memerlukan kerusi khas yang dapat menampung kepala untuk memudahkan urusan mereka ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah tiga atau empat kali sebulan bagi sesi fisioterapi.

"Mujurlah bantuan bulanan sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat meringankan beban bagi  membeli susu dan pampers kerana pendapatan suami saya Zamani Salleh, 43, sebagai peniaga pasar malam dalam lingkungan  RM1,200 sebulan,"katanya lagi.



Sementara itu,Adun Ajil,Ghazali Taib berkata pihaknya akan melihat apakah keperluan yang diperlukan oleh anak istimewa tersebut bagi meringankan beban keluarga termasuk mendapatkan bantuan dari Tabung Darul Iman yang diselaraskan oleh kerajaan negeri.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Tugas-Tugas Khas negeri berkata pihaknya sekarang sedang berusaha untuk membantu keluarga tersebut akan memastikan kebajikan anak ini terpelihara dari segi bantuan yang akan di terima.

"Dan sebagai permulaan kita akan bantu dengan sedikit sumbangan malah Zamani merupakan  penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan pemberian Rumah Mampu Milik dengan bayaran hanya RM189 sebulan sahaja,"kata Ghazali.

Jelasnya lagi sebagai Pengerusi Kolej Universiti Tati,beliau akan meminta pelajar dalam jurusan kejuruteraan mencipta satu peralatan khas yang sesuai bagi kegunaan Nur Sofeatul Aiesha untuk bergerak lebih lancar dalam setiap urusan yang sebelum ini agak terbatas.

"Kerajaan negeri akan salurkan bantuan mengikut keperluan dan saya harap keluarga ini tabah menghadapi dugaan ini."katanya lagi sewaktu menziarahi keluarga ini di rumahnya.

Tag: