• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Anak Jati Terengganu Catat Rekod Dunia

KUALA TERENGGANU, 27 April - Pelari Maraton terkenal yang berasal daripada Kuala Terengganu, Mohd Syahidan Alias atau lebih dikenali sebagai Edan Syah melakar sejarah baharu Guinness World Records pada Ahad lalu.

Beliau telah memecahkan rekod kategori Fastest Marathon in Traditional Malay Dress (Male) dalam acara yang merupakan perlumbaan jalan raya tahunan kedua terbesar di United Kingdom (UK).

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan tahniah atas kejayaan beliau yang telah mengharumkan nama negara.

“Bertambah menarik apabila saudara Edan menyertai acara itu dengan pakaian kebanggaan kita, baju Melayu.

“Terima kasih kerana telah buat kami warga Malaysia berbangga dengan saudara, semoga terus maju dan mencoret lebih banyak anugerah di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di laman facebooknya pada hari ini.

Pada perlumbaan tersebut, Edan Syah telah menamatkan larian sejauh 42.2 kilometer (km) dengan catatan masa dua jam 49 minit 22 saat dengan memakai persalinan lengkap baju Melayu, samping dan songkok.

Sebelum ini, beliau pernah menyertai Maraton Boston iaitu acara maraton tahunan tertua dan paling berprestij di dunia sebanyak dua kali pada 2015 dan 2017.

Tambah menarik, anak muda kebanggaan Terengganu juga merupakan pemegang Guinness World Records sebagai pelari Maraton Terpantas yang berpakaian bendera kebangsaan (lelaki) dengan catatan masa dua jam 54 min 34 saat di Blackmores Sydney Running Festival pada 16 September 2018.

 

 


Tag: