• 19 Mei 2024 | 11 Zulkaedah 1445

Anak Muda Perlu Gilap Bakat Dalam Permainan Bola Sepak


Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 22 Ogos- Anak- anak muda yang meminati sukan bola sepak diharap terus mengilap bakat masing- masing agar dapat menjadi pelapis pada masa akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, ianya selari dengan hasrat daerah ini untuk melahirkan pemain-pemain bola sepak yang berkaliber sekaligus menjadikan Terengganu kekal unggul di persada sukan tanah air.

"Saya harap dikalangan yang bermain di kejohanan ini akan turut mewakili pasukan Terengganu di masa akan datang," katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sebelah DUN Rantau Abang di padang bola Kampung Baru, baru- baru ini.

Di dalam perlawanan akhir untuk merebut Piala Pusingan ADUN Rantau Abang tersebut, pasukan bola sepak Seberang Pintasan telah berjaya menewaskan pasukan Kampung Batu Tiong dengan jaringan gol, 1-0.

"Tahniah kepada pasukan Seberang Pintasan yang berjaya mempertahankan kejuaraan dua tahun berturut-turut, dan kepada pasukan lain jangan putus asa, insyaAllah menyerlah di kejohanan akan datang, tunjukkan bakat yang ada, " katanya.

Manakala pengarah kejohanan, Muhammad Yusof Zainal Abidin berkata sebanyak  26  pasukan yang mewakili Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) telah menyertai kejohanan secara liga dan kalah mati itu.

"DUN Rantau Abang adalah paling banyak penyertaan dengan 26 pasukan,  jika dibandingkan dengan kejohanan bola sepak yang dianjurkan di DUN-DUN lain di dalam kawasan Dungun," ujarnya.


Tag: