• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Anak Muda Sahut Kempen 'Jom Solat Berjemaah'

KUALA TERENGGANU, 4 Mac - Seruan kerajaan kepada seluruh masyarakat di negeri ini untuk menghidupkan solat  berjemaah sempena Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) perlu disahut semua rakyat terutama anak muda.

Bagi seorang pemuda, Shahrul Hanif Osman, 27, berkata kempen jom solat berjemaah merupakan satu program yang sangat baik dalam meningkatkan kesedaran belia di Terengganu.

"Sebagaimana yang kita tahu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan, kita dah jarang  ke masjid.

"Jadi bila ada program seperti ini sudah tentu ia menyemai semangat untuk anak muda kembali semula ke masjid apabila segala aktiviti keagaamaan telah mula dibenarkan bermula 8 Mac ini.

"Saya lihat program ini sangat bagus dan akan memberi impak yang baik serta menunjukkan kerajaan negeri sangat mengambil berat tentang rakyat dari pelbagai sudut termasuk solat yang menjadi tiang serta asas utama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Edaran Baju Kempen 'Jom Solat Berjemaah' sempena BPIS, di Pantai Batu Burok, semalam.

Dalam pada itu, menurut Adun Belia (AB) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Amirah Liyana Ahmad Nazli berkata program berkenaan mampu menerapkan nilai-nilai murni di kalangan belia pada masa kini.

"Di mana kita tengok para belia dan beliawanis kita pada masa kini ramai yang terlibat dengan permasalahan gejala sosial maka penting untuk diserapkan kesedaran seperti ini.

"Kerana kesedaran melalui solat secara berjemaah ini ditambah pula dengan mengikuti kuliah agama, pasti akan dapat mencegah para belia kita ini dari terjebak dengan gejala-gejala negatif," ujarnya ketika ditemui. 

 


Tag: