• 08 Mac 2021 | 24 Rejab 1442

Anak Pesakit Strok Bersyukur Terima Telefon Pintar

MARANG, 10 Februari - Rasa sedih seorang pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan yang terpaksa menggunakan telefon uzur untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), terubat apabila menerima sumbangan telefon pintar dan pembelian data (tambah nilai internet).

Telefon pintar sumbangan pelbagai pihak menerusi program Cakna Didik Marang Hebak inisiatif Pejabat Daerah Marang dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Marang itu diserahkan kepada Nur Asyikin Ismail, 17, oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman di rumahnya di Kampung Wakaf Kedondong, disini, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Tun Faisal Tun Abdul Razak.

Nur Asyikin, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Payong berkata, dia amat terharu apabila menerima peranti berkenaan kerana dia sebelum ini terpaksa menggunakan telefon lama yang mempunyai pelbagai masalah serta selalu berdepan kesukaran untuk tambah nilai internet.

“Alhamdulillah, syukur dengan bantuan ini, terima kasih kepada kerajaan negeri dan pelbagai pihak lain yang memberikan bantuan kepada pelajar seperti kami yang sangat memerlukan.

“Sepanjang PdPR, saya menggunakan sedikit duit Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) yang saya dapat untuk tambah nilai internet kerana tidak mahu susahkan keluarga memandangkan ayah tidak lagi mampu bekerja selepas diserang strok lapan tahun lalu, sementara emak pula hanya suri rumah.

“Ketika ini, kami sekeluarga hanya bergantung kepada duit pencen ayah yang tidak sampai RM200 dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima ayah dan emak untuk meneruskan kelangsungan hidup,” ujar anak bongsu daripada enam beradik itu.

Tidak mahu menjadikan kesusahan keluarga sebagai halangan untuk dia mencapai cita-citanya sebagai seorang guru, Nur Asyikin berazam untuk menjadikan ‘hadiah’ yang diterimanya itu sebagai sebagai pembakar semangat untuknya mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti.