• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Anak Terengganu ‘Diburu’ Agensi Pelancongan Jepun

KUALA TERENGGANU, 14 April - Seorang anak tempatan, Muhammad Ridzwan Normahazan, 25, atau lebih dikenali sebagai ‘RidzBORED’ di YouTube pernah ditawar untuk mempromosikan tempat menarik di Jepun oleh pelbagai agensi pelancongan negara matahari terbit itu.

Beliau yang berasal dari Kuala Terengganu berkata, antara tawaran diterima adalah daripada ‘Tobu Railway’ bagi mempromosikan bandar Nikko kepada pengikut di Malaysia.

Ridzwan mempromosikan bandar Nikko bersama penggiat digital antarabangsa

“Agensi lain turut menawar saya mewar-warkan lokasi lain seperti Kobe, Osaka dan sebagainya pada bulan Disember hingga Januari tahun ini, tetapi terpaksa menolak kerana bercuti pulang di Terengganu,” katanya.

Mengulas lanjut permulaan kariernya sebagai YouTuber dengan ‘subscriber’ berjumlah lebih 40 ribu, Ridzwan berkata, Ibu bapa dan rakan-rakannya memberi sokongan berterusan terhadap hobinya Ibu bapanya pernah semangat berkongsi videonya ketika baru bermula.

Dia yang pernah bekerja sebagai jurutera reka bentuk mekanikal di Wilayah Saitama, menambah, sambutan kenalan jepun seperti Kaiji Kadir, juga positif dan gembira jika ditawarkan masuk di dalam video YouTubenya.

“Buat masa sekarang, kandungan video saya lebih kepada memperkenalkan budaya Jepun kepada penonton Malaysia, perancangan seterusnya supaya turut mempromosikan tempat dan budaya di negara kepada orang Jepun juga,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Apabila ditanya kenapa tidak menjadikan platform YouTube sebagai karier sepenuh masa, beliau menjawab, ia hanya menjurus kepada hobi dan kerja sampingan.

“Sejak kebelakangan ini, video juga tidak sempat dibuat kerana beban kerja utama dan urusan lain, cabarannya adalah mencari masa untuk merakam dan menyunting video.

“Dengan percubaan rakaman berpuluh kali, masa untuk menghasilkan satu video boleh mengambil dua hingga tiga hari, biasanya pada waktu petang selepas bekerja saya cari masa tersebut," jelasnya.

Namun begitu, Ridzwan menyuarakan perasaan puas hati apabila membaca reaksi positif penonton dalam ruangan komen dipenuhi pandangan positif terutamanya daripada peminat budaya dan animasi Jepun.

“Ada juga mereka yang bertanya dan ingin tahu lebih lanjut tentang bahasa Jepun dan kehidupan di situ, ada yang lebih suka saya berbahasa Jepun kerana ingin mendengarnya.

“Kepuasan jadi penggiat digital juga datang daripada kebolehan mengekspresi diri sendiri, dia memberi platform berkongsi idea dan fikiran bersama orang yang sependapat dengan kita.

“Contohnya, bila berkongsi nilai ‘Omoiyari’ iaitu bertimbang rasa dan memudahkan kerja orang lain, walaupun kita bukan orang Jepun tetapi ia boleh dipraktikkan dengan cara membersihkan tempat makan dan pinggan semasa makan di restoran.

“Apabila ada peminat ambil nasihat dan amalkan dalam hidup mereka dan bercerita dalam komen, perkongsian tersebut memberi motivasi dalam meneruskan minat saya ini,” katanya lagi.

Ikutilah Ridzwan di saluran YouTube ‘ridzBORED’ manakala maklumat lebih lanjut berkenaan perkhidmatan kirim barang dari Jepun di profil Instagram ‘@kirimbarangjepun’.