• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Anak Terengganu Lanjutkan Pengajian Ke Manchester Jadi Kebanggaan Keluarga

KUALA TERENGGANU, 27 September - Anak Terengganu, Irfan Faruqi Mohd Shukri menjadi kebanggaan keluarga apabila terpilih di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) melalui program 'World's Top Universities (WTU) untuk melanjutkan pelajaran ke University Of Manchester dalam bidang Biologi dengan Keusahawanan.

Beliau bersama 214 pelajar yang yang melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang ke United Kingdom selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Heatrow pada jam 4.15 petang waktu tempatan, semalam.

Bapanya, Mohd Shukri Rahman berkata, keluarga sangat bersyukur dengan rezeki dikurniakan kepada anaknya itu yang sanggup menggalas tanggungjawab berat demi menimba ilmu di perantauan ketika suasana global masih lagi tidak menentu.

"Sebagai anak Merdeka, saya percaya Irfan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi iaitu setanding dengan pelajar-pelajar terbaik dari seluruh dunia. Irfan mengambil kursus ini untuk menjadi seorang biopreneur bertaraf dunia pada masa akan datang.

"Menghantar Irfan semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengingatkan saya kembali ke tahun 1979 semasa saya dihantar ke 'Subang Airport' untuk ke United Kingdom (UK) bagi kursus A Levels dan Ijazah Pertama.

"Sudah tentu ia lebih manis apabila penaja anak saya ini ialah pihak yang sama menaja saya pada suatu ketika dahulu," ujarnya kepada pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

Shukri turut yakin walaupun anaknya tidak membuat kurus A Levels sebagaima sesetengah pelajar yang melanjutkan pelajaran di negara berkenaan, Irfan tetap mampu mencapai yang terbaik.

"Alhamdulillah, sijil Asasi Pintar (satu tahun) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diiktiraf dan diterima oleh universiti terbabit.

"Kami doakan semoga Allah akan mempermudahkan laluan Irfan mencapai cita-citanya ke arah itu di samping akan menjadi 'role model' kepada adik-adik pelajar yang lain. Terutamanya yang sedang belajar di Kolej Genius Pintar, Asasi Pintar dan anak-anak kami dalam Persatuan Kebajikan Keluarga dan Pelajar Pintar Terengganu (Gen-T)," ujarnya.


Tag: