• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Anak Terengganu Teruja 'Menghadap' Permaisuri Agong

KUALA LUMPUR, 9 Mac - Hasil kraftangan diorama rumah kedai yang ‘dibina’ oleh seorang anak jati Besut berjaya mengharumkan nama negeri apabila menjadi naib juara Anugerah Penggiat Kraftangan Malaysia, baru-baru ini.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli dalam program atas talian tersebut anjuran Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) melalui platform The Tunku Azizah Handmade Market (TTAHM), pada 3 Mac.

Naib johan, Mohd Ihsan Mohd Saidi, 34, berkata, walaupun majlis dijalankan dalam alam maya, namun reaksi gembiranya jelas apabila dapat mempersembahkan ‘rumah kedai’ kepada Raja Permaisuri Agong.

“Bukan senang nak menghadap Baginda, saya sebagai satu daripada dua orang wakil negeri amat berbesar hati dalam membawa nama dan kreativiti Terengganu.

“Alhamdullilah, saya dinobatkan tempat kedua hasil undian juri dan jumlah ‘like’ di Facebook dan berjaya membawa pulang kontrak tiga tahun memasarkan prduk dalam platform TTAHM serta sebuah tablet,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Tambahnya, beliau turut berterima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu yang membuka ruang dalam kemenangan tersebut.

“Harapan saya kepada pihak Kerajaan Negeri Terengganu supaya membantu penggiat kraftangan dari segi tempat meniaga atau memasar hasil, bantuan-bantuan membeli bahan buatan serta latihan.

“Lebih-lebih lagi untuk orang muda supaya menjadi lebih kreatif serta menaikkan nama negeri dalam industri ini,” tambahnya.

Sementara itu, daripada 100 lebih peserta yang mengambil bahagian, tempat pertama dimenangi oleh Siti Nor Hanir Zanar Misro dari Negeri Sembilan dengan produk beg ‘Yara Puch Frame’ manakala tempat ketiga diperolehi oleh Sweelane Mundun daripada Sarawak.

Dalam titah ucapannya, Raja Permaisuri Agong selaku penaung PSJKM (penganjur) menzahirkan sokongan penuh Baginda sempena pembukaan 100 kedai dalam platform TTAHM.

“Sejak perasmian platform ini pada tahun lepas, kini mempunyai dalam 100 kedai, saya berbangga majoriti antaranya kumpulan berpendapatan 40 peratus ke bawah (B40), suri rumah, ibu tunggal, warga emas serta orang kurang upaya (OKU).

“Platform ini bukan sahaja menawarkan ruang kepada penggiat kraftangan dalam memasarkan produk tanpa had sehingga tahap antarabangsa, malah mereka dididik tentang selok belok perniagaan atas talian di mana ia adalah penting dalam situasi kekangan COVID-19,” titah Tunku Azizah pada pelancaran majlis itu.