• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Anak Terengganu Raih Emas ‘World Chef Championship'

KUALA TERENGGANU, 21 Mei - Anak kelahiran Kampung Jalan Tekukur Terengganu, Nazrul Hazel Mohd Nor telah melakar sejarah apabila meraih pingat emas dalam kejohanan World Chef Championship (WCC) (Pasta Challenge) baru-baru ini.

Menurutnya, dia menyifatkan kejayaan itu sebagai impian yang menjadi realiti serta telah mengembalikan begitu banyak kenangan indah.

“Kejohanan WCC itu telah berlangsung selama tiga hari bermula 18, 19 dan 20 Mei di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru.

“Kejayaan saya memperoleh juara dalam kategori ‘Pasta Challenge' ini adalah kerana kelainan dari sudut hidangan, penyediaan dan persembahan pasta,” katanya ketika dihubungi oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.

Tambah Nazrul, dia menggunakan dua warna pasta berbeza iaitu kuning dan hitam bagi menampakkan kelainan dan tarikan terhadap pasta itu.

“Di samping, pelbagai olahan yang diletakkan dalam pastanya bagi menampakkan warna-warni dalam persembahan yang terdiri daripada makanan laut, sayuran dan pelbagai lagi,” jelasnya.

Dia yang juga merupakan bekas Chef di Istana Terengganu telah mempunyai pengalaman yang luas dalam memasak aneka pasta.

“Resepi pasta ini adalah melalui ilham saya ketika berada di Itali ketika lawatan kerja pada 10 tahun lepas.

“Perasaan saya amat teruja dan tidak sangka dinobatkan sebagai juara sekali gus merupakan detik paling berharga bersama keluarga ketika berada di sana,” ujarnya.

 

 


Tag: