Anak Terengganu Ungguli Litar Dunia Di Sepanyol

KUALA TERENGGANU, 8 Jun - Memulakan perlumbaan di petak ke-7, pelumba muda sensasi negara, Muhammad Hakim Danish Ramli, melakar sejarah baharu apabila berjaya menjuarai Race 2 dalam perlumbaan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2025 di litar Aragon, Sepanyol, hari ini.

Kemenangan itu meletakkannya di tangga teratas podium, menewaskan nama-nama besar dalam kalangan pelumba muda antarabangsa. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim mengucapkan sekalung tahniah kepada anak kelahiran Terengganu itu diatas pencapaiannya yang telah berjaya menaikkan nama negara ke pentas antarabangsa.

"Lagu Negaraku berkumandang di Aragon, Sepanyol.

"Tahniah! Hakim Danish berjaya merampas kejuaraan bagi Race 2 Redbull MotoGP Rookies Cup di Aragon, Sepanyol sebentar tadi.

"Berada di podium 1, menewaskan pelumba-pelumba dunia lain.

Beliau berkata demikian dalam hantaran yang telah dikeluarkan melalui laman Facebook rasminya, sebentar tadi.

Lebih membanggakan kejayaan tersebut berlaku selepas Hakim menduduki tempat kedua dalam Race 1, satu perlumbaaan yang penuh mendebarkan dengan perbezaan masa hanya 0.007 saat di belakang pelumba Sepanyol, Brian Uriarte.

Pembalap yang berumur 17 tahun itu kini merupakan antara pelumba paling konsisten dalam kejohanan tersebut dan dilihat sebagai pencabar utama kejuaraan keseluruhan musim ini, mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu carta keseluruhan siri perlumbaan tersebut.

Dalam perkembangan lain, seorang lagi bakat muda Terengganu, Qabil Irfan, bersama bapanya (Lan Jawa) bakal berlepas ke Sepanyol esok (9 Jun 2025), bagi menyertai ESBK Talent Cup 2025, pusingan dua di Aragon dan pusingan tiga di Navarra.


Tag: