Mahkamah Tinggi Syariah Tangguh Hukuman Sebat Pesalah Khalwat
BESUT, 12 Mac - Seni mempertahankan diri tradisional, silat perlu disuburkan khususnya dalam kalangan anak muda supaya tidak dilupakan dan ditelan zaman.
Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, sukan seni silat semakin dilupakan, jadi semua pihak perlu memainkan peranan untuk memartabatkan kembali seni silat yang ada pada hari ini.
Katanya, sekiranya tidak dipupuk, terutama dalam kalangan belia, seni silat ini semakin lama akan dilupakan dan lenyap.
"Saya juga berharap agar seni silat ini akan dapat berkembang lebih jauh dimasa hadapan supaya anak-anak muda dapat terus mendekati seni silat kerana sukan ini merupakan seni warisan dan alat untuk perpaduan bangsa.
"Tahniah saya ucapkan kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Rumah Mampu Milik (RMM) Gong Tengah atas usaha mengadakan program seni silat ini demi menjaga anak-anak muda di perumahan ini.
"Saya akan terus menyokong dan menyumbang setakat mampu mana-mana aktiviti di kawasan perumahan ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Seni Silat Tongkat anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman RMM Gong Tengah hari ini.
Sementara itu, Pengerusi KRT taman tersebut, Shaharomie Salahuddin berkata, tercetusnya idea untuk mewujudkan program seni silat tersebut adalah apabila melihat ramai anak muda zaman terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat.
"Dengan adanya program sebegini anak-anak muda di kawasan perumahan ini boleh mengisi masa lapang dengan perkara yang positif dan dapat menjauhkan belia daripada mendekati masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah dan sebagainya.
"Program Seni Silat ini sudah berjalan sejak pembukaan program ini pada 26 Februari yang lalu dan diadakan latihan pada setiap malam.
"Hari ini merupakan hari terakhir latihan bagi pusingan pertama ini bagi memberi ruang kepada bulan Ramadan. Insya-Allah akan sambung balik selepas Hari Raya Aidilfitri nanti," ujarnya.
Jelas beliau lagi, program silat tersebut mendapat sambutan yang sangat baik daripada penduduk perumahan.
"Setakat ini penyertaan dari anak-anak muda berumur lingkungan 4 hingga 16 tahun sudah mencecah 40 orang. Setiap malam datang latihan ke gelanggang silat. Penduduk taman ini sendiri pun memberi sokongan yang baik kepada program ini.
"Harapan saya, semoga kami dapat menambah baik lagi sebarang kekurangan yang ada dalam menjalankan program ini dan dapat menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk keselesaan dan keselamatan anak-anak muda dalam menjalani latihan.
"Tidak lupa juga saya ucapkan jutaan terima kasih kepada penyumbang utama kami, Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh," ujarnya ketika ditemuramah sewaktu Majlis Penutupan Seni Silat Tongkat.