• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Annuar Tidak Berhasrat Sambung Kontrak Pengerusi Mara



Saya tidak berhasrat untuk menyambung kontrak sebagai Pengerusi Mara dan hasrat ini telah nyatakan dalam satu surat yang dihantar kepada Perdana Menteri(PM), Dato' Seri Nohd Najib Razak, demikian jelas Ketua Penerangan UMNO Malaysia,Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, selepas memegang jawatan tersebut lebih dari empat tahun ,satu surat agar pelantikan semula jawatan itu tidak disambung telah dihantar  kepada PM  pada hari Rabu baru-baru ini.

"Saya juga mencadangkan kepada PM agar memberi peluang kepada rakan-rakan pemimpin lain untuk menjawat jawatan tersebut,"katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Terengganu 2017 di Dewan Komuniti Kuala Berang, malam tadi.

Turut hadir Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Terengganu,Johari Abu Bakar; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu,Dato' Rozi Mamat; Naib Ketua UMNO Bahagian,Yusof Awang Hitam; Ketua Penerangan UMNO Bahagian,Ghazali Taib; Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Fatimah Hamat dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Rozita Ismail.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Berang, Dato' Tengku Putera Tengku Awang.

Ketika ditanya sama ada beliau akan menerima jika dilantik semula untuk jawatan tersebut, Annuar berkata Perdana Menteri harus melihat dan meneliti rekod tugasnya sepanjang memegang jawatan tersebut bermula 19 Ogos 2013 itu.

"Namun alasan yang saya bagi untuk tidak meneruskan kontrak sebagai Pengerusi Mara ialah kerana ingin memberi peluang kepada pemimpin lain dan ini terpulanglah kepada Perdana Menteri untuk melantik siapa yang dia mahu sebagai pengerusi,"katanya

Tag: