• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

APM Kemaman Berwajah Baru

KEMAMAN, 22 Oktober - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kemaman kini berwajah baharu apabila berpindah secara rasmi ke pejabat yang baharu.

Pejabat Pertahanan Awam Daerah Kemaman yang dulunya beroperasi di Kuarters Pegawai Kerajaan, Jalan Batu 2 1/2 Air Putih telah berpindah di Lot 11546, Jalan Dato' (Belakang Majlis Perbandaran Kemaman).

Pegawai Kehormat APM Terengganu, Hanafiah Mat bersyukur ke hadrat Ilahi di atas pembukaan premis APM itu.

"Saya merasakan dengan adanya pejabat yang lebih selesa beserta dengan kemudahan yang telah diberikan, ianya akan menaikkan lagi semangat yang ada kepada warga APM Kemaman supaya memberikan perkhidmatan yang lebih hebat kepada warga Kemaman," Ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri.

Hanafiah sebelum ini turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM40,000.00 kepada APM Kemaman bagi menjalankan dan melancarkan kerja-kerja penambahbaikan premis APM itu. 

"Jagalah kemudahan yang ada agar ianya dapat dimanfaatkan bersama bagi kepentingan masyarakat setempat di daerah Kemaman ini," katanya ketika berucap merasmikan Pejabat APM Kemaman itu, kelmarin.

Tegas Hanafiah, sudah menjadi tanggungjawab baginya untuk sama-sama membantu mana-mana agensi termasuk APM di dalam menyediakan kemudahan-kemudahan yang sepatutnya mengikut kemampuan. 

Katanya lagi, APM adalah salah satu agensi penting dalam pengurusan bencana dan kecemasan serta perkhidmatan penyelamat pantai. Mereka telah menjadi Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah sejak lima tahun (2015) yang lalu.

"APM semakin matang dan cekap dalam kerja-kerja mengurus bencana terutama banjir. Malah dengan tercetusnya wabak COVID-19, APM memegang peranan lebih penting. Syabas APM!"

Turut hadir dalam majlis tersebut iaitu Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Norhafifi Ismail, Pegawai Daerah Kemaman, Muhamad A. Rahman @ Othman, Pengarah APM Terengganu, Che Adam A Rahman, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Jusman Ibrahim, Ketua Polis Daerah Kemaman, Hanyan Ramlan, Pengarah CEO, Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS), Professor Madya Dr Mohd Zaki Hamzah dan Dekan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni Kolej Universiti TATI, Syahrul Alim Baharuddin.


Tag: