• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Ariffin Harap Majoriti Kemenangan PAS di Alur Limbat Bertambah

KUALA TERENGGANU, 7 Ogos- Calon PAS Alur Limbat, Ariffin Deraman berharap pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut dapat memberi majoriti kemenangan yang lebih besar kepada PAS-Perikatan Nasional (PN) di hari pengundian Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 pada 12 Ogos ini.

Pada PRU Ke-14, Ariffin daripada PAS menang dengan mendapat 13,330 undian ketika menentang Saiful Bahri Baharuddin daripada parti Barisan Nasional (BN) yang mendapat 9,136 undi dengan majoriti undi sebanyak 4,194.

Sebelum itu semasa PRU-13, beliau yang pertama kali bertanding atas tiket PAS turut menang dengan majoriti 645 undi ketika menentang calon BN, Alias Abdullah.

“Saya telah diberi peluang oleh parti PAS untuk bertanding dalam PRU Ke-13, pertama kali masuk bertanding saya mendapat kemenangan tipis iaitu majoriti 645 undi. Ketika penggal pertama saya masih lagi jadi pembangkang. 

“Pada PRU Ke-14, alhamdulillah diberikan undi yang besar iaitu saya menang lebih daripada 4,000 majoriti. Satu jumlah yang besar, bila saya menang kali kedua, saya diamanahkan sebagai exco kerajaan negeri iaitu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri,

“Terima kasih kepada parti, kerajaan negeri yang telah beri peluang kepada saya untuk menjadi sebahagian penggubal dasar Negeri Terengganu. Banyak yang saya belajar sepanjang lima tahun mentadbir negeri,” ujarnya.

Justeru katanya, beliau mengharapkan majoriti kemenangan pada kali ini akan lebih bertambah berbanding PRU Ke-14.

“Alur Limbat ini kawasan exco, macam-macam kelebihan yang boleh dibawa ke kawasan ini.

"Jadi kalau dulu kita dah undi PAS, dah beri kemenangan, kali ini saya berharap kita dapat tambah lagi majoriti kita," ujarnya.

Arinffin berkata, beliau yakin pengundi DUN Alur Limbat akan membuat pilihan yang bijak dengan terus memilih kerajaan yang dapat mentadbir Terengganu selari dengan prinsip maju, berkat dan sejahtera.