• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Aset Bernilai RM4.3 Juta Hasil Edar Dadah Disita Polis

KUALA TERENGGANU, 12 April - Polis Terengganu menyita aset bernilai RM4.3 juta yang disyaki dibeli dengan hasil pendapatan pengedaran dadah.

Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, rampasan tujuh lot tanah termasuk 10 chalet itu disita bawah Seksyen 28 (1) Akta Dadah Berbahaya 1988.

Menurutnya, aset ini dikesan berikutan tangkapan dua suspek pengedar dadah yang ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 2020.

"Kedua-dua suspek ditahan berhubung rampasan dadah disyaki jenis ganja seberat 541.18 gram dan dadah jenis syabu seberat 46.70 gram," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Tambahnya lagi, siasatan lanjut penjejakan harta melalui bank dan institusi kewangan menemukan tujuh harta tak alih yang diperoleh secara pembelian meragukan. 

“Daripada jumlah itu, sebanyak empat lot tanah disita di Kuala Nerus termasuk yang dibina chalet bernilai RM900,000 diikuti masing-masing satu di Kemaman, Dungun dan Marang,"ujar beliau.

Rohaimi berkata, kesemua aset yang disita merupakan nilai sitaan harta terbesar melibatkan pengedar dadah di Terengganu setakat ini.

Dalam masa yang sama beliau berkata, Polis Terengganu di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan meneruskan penyiasatan (asset tracing) ke atas semua sekutu pengedar dadah dan memastikan kesemua aset-aset ini dilucuthak kepada kerajaan Malaysia.