• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

Aset Dikerah Perangi Aedes Di Kuala Nerus

 

Oleh: Nizam at-Takiri  
 
KUALA NERUS,  9 Mac - Rakyat dan kerajaan negeri melalui agensi terbabit saling berganding bahu menangani wabak denggi di sini dengan mengadakan program gotong royong membersih kampung daripada tempat pembiakan nyamuk aedes.  
 
Serentak itu,  Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus mengerahkan asetnya dengan kerjasama Pejabat Daerah Kuala Nerus, Sekretariat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus (PKAPKN) dan  Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Batin, bagi menjayakan Program Gotong Royong Mega, di Perkarangan Masjid Kampung Batin, Seberang Takir, di sini hari ini. 
 
Kira-kira 200 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat menjayakannya termasuk 50 orang mahasiswa dan mahasiswi dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT). 
 
Pegawai PKAPKN, Zulkefli Ngah berkata, program ini penting bagi mencegah penularan penyakit yang berbahaya seperti demam denggi akibat pembawaan nyamuk Aedes.  
 
Seorang peserta, Mohd Ridwan Nizam Mohd Farid berkata, program ini memberi kesedaran kepada penduduk sekitar berhubung dengan bahaya demam denggi dan cara menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk tersebut.
 
Nyamuk aedes dipercayai membiak dengan banyaknya selepas musim tengkujuh.  Justeru orang ramai dinasihatkan menjaga kebersihan di sekitar kawasan rumah masing-masing dengan menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk.  
 
Mereka perlu mengikut panduan menghapus tempat pembiakan serangga tersebut sebagaimana disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Maklumatnya boleh diperolehi di pusat kesihatan berdekatan rumah masing-masing.   

Tag: