• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Aspek Kebersihan Harus Berada Di Tahap Terbaik

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 4 Mac - Aspek kebersihan di setiap tempat pelancongan harus dipertingkatkan pada tahap terbaik agar imej pelancongan negeri dipandang positif oleh para pengunjung.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, nilai kebersihan adalah salah satu tarikan dan menjadi satu usaha supaya negeri ini terus menjadi destinasi pilihan pelancong untuk datang ke Terengganu.

"Tarikan pelancongan bukan semata-mata kerana keindahan semula jadi seperti Pulau Kapas serta perkhidmatan memuaskan yang diberikan oleh pihak pemain sektor ini.

"Namun ia juga melibatkan aspek kelestarian dan kebersihan yang menjadikan negeri kita sebagai pilihan utama pelancong," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program 'Gotong Royong Bersih Pulau Kapas, semalam.

Turut hadir ialah Yang DiPertua Majlis Daerah Marang, Fadli Yusof Zakaria dan Timbalan Pengerusi Persatuan Isteri Wakil Rakyat Dan Bekas Wakil Rakyat Negeri Terengganu (Khairunnisa), To' Puan Hajah Zarani Othman.

Menurutnya, beliau seronok dapat terlibat sama dengan program tersebut, yang dianjurkan oleh Majlis Daerah Marang dengan kerjasama beberapa jabatan dan agensi yang lain termasuk Pejabat Daerah Marang, Jabatan Pelancongan dan Permint. 

"Saya (juga) menekankan Daerah Marang perlu merancang dan memperkasakan sektor pelancongan ke tahap yang boleh dibanggakan dengan memanfaatkan segala potensi dan sumber yang ada," ujar Dato' Yahaya.

Mengulas lanjut berkenaan usaha terkini di daerah Marang, beliau memaklumkan kerajaan pusat juga akan melaksanakan projek menaik taraf jambatan merentasi Sungai Marang, Terengganu.

'Pembinaan jambatan baharu di Sungai Marang yang telah dimasukkan dalam bajet 2021 Kerajaan Persekutuan," katanya.