• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Aspire Pro Care Campaign Agih Kit Bantuan Banjir

HULU TERENGGANU, 11 Disember – Dalam situasi banjir yang melanda Terengganu, satu badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Kebajikan Aura Kasih melalui  "Aspire Pro Care Campaign"    terpanggil untuk mengambil bahagian membantu masyarakat yang terjejas dengan menggerakkan kempen bantuan kit banjir.

Ketua Pegawai Eksekutif Aspire Prominent Sdn Bhd, Norain Nazmi berkata, inisiatif yang kini telah memasuki tahun ketiga, adalah hasil kutipan dari sahabat-sahabat dan sumbangan Aspire Prominent sendiri.

Katanya, pada kali  ini,  Aspire Pro Care membuat sedikit kelainan melalui agihan bantuan yang merupakan beg keperluan kecemasan yang mengandungi beg kalis air 20L, beg air mudah alih 10L, beg tidur kecemasan, selimut haba, kit pertolongan cemas dan makanan  dengan nilaian RM110 setiap satu.

“Kami berasa adalah perlu untuk membantu mereka terutamanya yang tinggal di luar banjir untuk menyediakan kit banjir jika berlaku sebarang bencana banjir di tempat mereka. 

“Objektif kami adalah membantu masyarakat terutamanya yang tinggal di luar bandar yang selalunya lambat menerima  bantuan, atau kadangkala dipinggirkan terus kerana lokasi mereka yang agak terpencil,”katanya kepada Urus setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui di Kampung Nibong.

Hasil sumbangan kempen ini, Noren berkata pihaknya menyasarkan untuk membantu seramai 50 keluarga sebagai sasaran awal. 

Menurutnya lagi, sepanjang perjalanan beliau, terdapat beberapa mangsa yang telah mengadu kehilangan dokumen-dokumen penting seperti geran tanah pada tahun sebelum ini.

“ Oleh itu, kami menasihatkan mereka untuk memanfaatkan Dry Bag atau beg kalis air yang disediakan untuk menyimpan segala dokumen-dokumen dan barang-barang keperluan yang penting bagi memastikan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku,”tambahnya.