• 09 Okt 2024 | 06 Rabiul Akhir 1446

Atlet Terengganu Ikuti Pengajian Agama

KUALA TERENGGANU, 30 November - Bagi memastikan atlet Terengganu berkualiti tinggi serta tidak hanya cemerlang dalam lapangan sukan kerajaan negeri turut menekankan pendidikan agama.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerajaan negeri telah melantik seorang pegawai khas melalui unit bimbingan di Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) yang bertanggungjawab memastikan perkara itu terlaksana.

"Antara program yang dilaksanakan oleh MSNT ialah Kelas Fardu Ain secara berkala bagi atlet yang menginap di asranama, Solat Zohor dan Asar secara berjemaah setiap hari bekerja di dalam dewan arena MSNT dan program motivasi kerohanian secara berasingan untuk setiap sukan.

"(Selain itu) kelas pengajian al-Quran setiap Isnin dan Rabu, Solat Duha dan Solat Hajat setiap Khamis, pengajian berkitab setiap pagi Khamis.

"Melaksanakan qiamulali setiap kali kem diadakan, amalan doa dan zikir harian, program 'Ihya Ramadan', Solat Tasbih dan seumpamanya, inilah di antara beberapa program yang dikelolakan untuk membentuk atlet yang berkualiti," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim, pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas lebih lanjut katanya, kesungguhan melahirkan para atlet adalah mengikut bimbingan Rasulullah SAW.

"Semangat kesukanan ini sudah tentu kita mengambil bimbingan daripada Nabi Muhammad SAW yang telah memberi ajaran ajarkan anak melalui aktiviti memanah, menunggang kuda ini dari sudut fizikal.

"Dari sudut kerohanian Nabi SAW ada menyebut bukan dikatakan seseorang itu hebat kerana pandai bergusti tetapi dikatakan kuat apabila dia mampu mengawal dirinya ketika marah.

"Ini yang diterapkan dalam memastikan kecemerlangan sukan di negeri Terengganu, dengan menekankan semua aspek latihan (mencakupi) fizikal, kekuatan mental dan juga pemantapan rohani," katanya.