• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Awas, Tiga Paras Sungai Tahap Bahaya Di Terengganu

HULU TERENGGANU, 9 Disember - Penduduk di beberapa daerah di negeri ini dinasihatkan sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa berikutan paras air di tiga sungai kini melepasi tahap bahaya.

Menurut laman web rasmi publicinfobanjir.water.gov.my yang dikemaskini jam 9.00 pagi pada Jumaat, Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu berada pada paras 20.81 meter iaitu 1.11 meter melebihi tahap bahaya.

Selain itu, dua lagi sungai di Setiu iaitu Sungai Chalok di Jambatan Chalok (9.25 meter) dengan 0.85 meter melepasi tahap bahaya dan Sungai Nerus di Kampung Langkap (21.43 meter) iaitu 0.43 meter melebihi tahap bahaya.

Sementara itu, Sungai Besut di Kampung La,  Besut kini melepasi tahap waspada dengan paras 20.52 meter melebihi 0.72 di tahap waspada.

Selain itu, Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu juga menunjukkan trend menaik dan telah melebihi paras bahaya dengan ketinggian 12.17 meter.

Secara umumnya hujan lebat direkodkan turun menyeluruh di semua kawasan negeri Terengganu meyebabkan peningkatan paras sungai.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada pagi jumaat mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya yang dijangka berlaku di Terengganu dan Kelantan bermula 9 hingga 10 Disember.