• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Azizul Raih Emas Di Australia

KUALA LUMPUR, 21 Disember- Azizulhasni Awang membuktikan dia berada di kelas tersendiri biarpun sembilan bulan tanpa pertandingan kompetitif apabila berjaya menyumbangkan emas di Kejohanan Kebangsaan Australia dalam acara keirin.

Malah bukan satu, rakan sepelatih, Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut cemerlang mengiringi Azizul dengan merangkul gangsa dalam acara yang sama.

Kejayaan dua pelumba negara yang kini berpangkalan di Melbourne itu turut menerima ucapan tahniah daripada Menteri Belia dan Sukan (KBS), Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican dalam laman sosial Facebook rasmi beliau.

Reezal mengucapkan tahniah dan syabas kepada kedua-dua atlet negara itu kerana biarpun sudah agak lama tidak beraksi di kejohanan besar, mereka berjaya membuktikan kemampuan masing-masing apabila muncul sebagai juara di kejohanan antarabangsa.

"Ini satu lagi kejayaan yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.

"Saya yakin kejayaan seperti ini bakal menjadi pembakar semangat kepada seluruh atlet negara untuk terus berusaha meningkatkan prestasi dan menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa yang lain," katanya. 

Sumber: Harian Metro
 


Tag: