• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Babi Antara Punca Kemalangan Dan Kerosakan Tanaman Di Bukit Besi

Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman menziarahi mangsa kemalangan.
Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 26 Februari - Babi liar yang berkeliaran di sekitar Bukit Besi antara punca berlakunya kemalangan dan kemusnahan tanaman di Kampung Besol, di sini.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, masalah berkenaan boleh meragut nyawa dan menjejaskan sumber pendapatan orang ramai.

Jelasnya, haiwan tersebut yang melintasi jalan utama turut merosakkan kebun-kebun kecil penduduk setempat sehingga menyebabkan banyak kerugian yang dialami oleh mereka.

"Babi ini melintasi jalan-jalan utama, setakat ini dalam tahun ini sahaja bermula Januari telah berlaku lima hingga enam kes kemalangan.

"Bukan sahaja mendatangkan kerugian kerana kerosakan tanaman sebaliknya mendatangkan bahaya pula kepada penunggang motor, kereta dan sebagainya," ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, semasa menziarahi dan memberi sumbangan kepada mangsa yang terlibat dalam kemalangan dengan babi, pada Ahad lalu.

Tambah beliau, perbincangan dengan pihak-pihak tertentu akan diadakan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan.

Mangsa kemalangan, Rozanah Mamat menceritakan detik-detik cemas semasa dilanggar
"Kita akan adakan perjumpaan dengan semua pihak untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu masyarakat di sini," tambahnya.

Sementara itu, mangsa kemalangan, Rozanah Mamat, 37, berkata, dia disondol haiwan tersebut sehingga cedera pada tulang rusuk dan pengsan di tempat kejadian.

"Ketika itu saya menjerit meminta tolong daripada orang ramai yang berada berdekatan.

"Saya telah dibawa ke hospital dan baru sahaja keluar dari wad. Masih dalam keadaan kesihatan yang tidak baik, dan masih belum boleh melakukan sebarang pekerjaan," jelasnya.

Susulan daripada kes itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Besol berkata, beliau akan berusaha untuk menyelesaikan masalah itu dan amat berterima kasih atas kecaknaan dan keprihatinan daripada pihak Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi.

"Semoga perancangan untuk membasmi babi akan diambil dengan jalan yang terbaik dalam memastikan kesejahteraan penduduk," jelas beliau.

Tag: