• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Badut Rindu Untuk Beraksi Di Jalanan

KUALA TERENGGANU, 10 Mac - Muhammad Ridzuan Roslan yang menjadikan badut sebagai kerjaya sepenuh masa mengakui rindu untuk kembali menghiburkan masyarakat selepas aktiviti itu tidak dibenarkan sejak Mac tahun lalu.

Ridzuan, 25, berkata dia terpaksa akur dengan larangan melakukan segala kegiatan dan aktiviti di tempat-tempat awam dalam negeri ini disebabkan kekangan wabak pandemik COVID-19.

Namun katanya, ia sangat memberi kesan kepada dia dan rakan-rakannya terutamanya membabitkan isu kewangan.

"Memang ia sangat sukar sebab kita ada 'team' yang masing-masing perlu meneruskan kelangsungan hidup, kita ada barang dan segala peralatan badut yang kita tempatkan di sebuah pejabat yang kita sewa.

"Sehinggakan segala tempahan bagi menggunakan perkhidmatan badut di acara seperti majlis sambutan hari lahir, 'annual dinner', ekspo, dan pelbagai acara lagi terpaksa dibatalkan.

"Kita juga terpaksa membuat bayaran balik kepada pelanggan yamg kami batalkan, memang  kami kehilangan punca pendapatan bagi meneruskan aktiviti badut yang telah mula diceburi semenjak masih di bangku sekolah lagi," ujarnya.

Ridzuan berkata demikian ketika ditemuramah pemberita, di Taman Awam Batu Burok, di sini semalam.

Menurutnya lagi, apa yang dilakukan itu bukan berorientasikan keuntungan semata-mata sebaliknya ia lahir daripada minat.

"Saya juga menafikan aktiviti ini dipengaruhi mana-wana watak badut yang digambarkan melalui filem dari barat yang menunjukkan badut merupakan penentang kepada sistem pemerintahan ataupun terlibat dengan pembunuhan bersiri.

"Niat hanya hendak menghiburkan masyarakat, memang tidak dapat dinafikan di permulaan dulu masyarakat di Terengganu ini tidak dapat terima badut dan ia berbeza sekarang.

"Mereka tengok apa yang saya buat ini sebagai aneh dan pelik, pada waktu itu saya berada di tingkatan satu," katanya.

Tambahnya lagi, pada permulaan dia menonjolkan badut dengan menjual belon dan hasil jualan itu digunakan bagi membeli barangan yang lain melalui 'eBay'.

"Pada waktu itu 'lazada' dan 'shoope' tidak ada lagi jadi saya beli pada harga yang mahal kerana berlakunya transaksi mata wang dalam dolar.

"Waktu itu juga tiada peranti seperti sekarang yang boleh mengakses maklumat dan mempelajari teknik silap mata dan melakukan aksi badut dengan pantas.

"Zaman itu kena pergi ke 'Cyber Cafe' dan beli 'VCD' serta buku-buku untuk mempelajari semua perkara ini.

"Hasil usaha itu, ketika di sekolah saya menyertai rancangan Mimpi Ke Bintang dianjurkan RTM sehingga ke suku akhir," ujarnya.

Justeru dia berharap agar aktiviti itu kembali dibenarkan dan orang ramai kembali menyokong sektor terbabit.

"Lagi suka sebenarnya kalau kerajaan sendiri hendak menggunakan khidmat kami, serta mana-mana pihak hendak menempah perkhidmatan kami boleh pergi ke laman sosial kami melalui facebook (Terengganu Clown Service) juga Instagram (servisBadut.com)," jelasnya.

 

 


Tag: