• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Baik Pulih Hakisan Pantai Teluk Lipat Bermula Oktober

DUNGUN, 6 Julai - Proses baik pulih hakisan di Pantai Teluk Lipat yang semakin kritikal akan dimulakan selewat-lewatnya Oktober ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan, sebanyak RM80 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan baik pulih di seluruh kawasan sepanjang empat kilometer itu.

"Ada empat peringkat proses pemulihan pantai ini dan bagi peringkat pertama, kita pecahkan kepada dua bahagian untuk melindungi kawasan-kawasan kritikal di sini yang dijangka siap tahun ini.

"Bagi keseluruhan projek pemulihan di pantai Teluk Lipat dijangkakan siap pada pertengahan tahun 2022," katanya.

KSU KASA, Dr. Zaini memberikan penerangan kepada Menteri Alam Sekitar dan Air.
KSU KASA, Dr. Zaini memberikan penerangan kepada Menteri Alam Sekitar dan Air.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu melakukan tinjauan di lokasi terbabit, hari ini.

Lokasi itu merupakan salah satu agenda Tuan Ibrahim dalam rangka lawatan kerja sehari ke Terengganu, hari ini.

Dalam lawatan tersebut, menteri berkenaan yang diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang turut meninjau hakisan tanah dan projek Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Rusila, Marang.

Turut hadir, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hasan Mohd Ramli, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik, ADUN Rantau Abang, Alias Harun dan wakil-wakil jabatan terlibat.