KUALA NERUS, 17 September - Ketua Jurulatih Terengganu Football Club (TFC), Mohd Nafuzi Mohd Zain mahu menggunakan tempoh rehat yang ada untuk menilai semula pasukan selepas skuad itu tersingkir daripada saingan Piala FA 2026, malam tadi.
Menurutnya, tempoh rehat yang lebih panjang itu akan dimanfaatkan bagi mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki sebelum pasukan kembali memberi tumpuan kepada saingan Liga Super.

"Kita akan menggunakan ruang ini untuk menilai balik pasukan, melihat apa yang kita perlu tingkatkanlah untuk kita sambung di Liga Super nanti," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perlawanan TFC menentang Brunei DPMM FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
TFC tersingkir selepas tewas 1-3 kepada DPMM pada aksi timbal balik pusingan 16, sekali gus kalah 4-5 secara agregat selepas sebelum ini mencatat kemenangan 3-2 pada aksi pertama.

"Saya rasa keseluruhannya dari segi permainan kita bermain dengan agak baik, dari segi permainan kita banyak mencipta peluang untuk menjadikan gol.
"Tetapi kesilapan-kesilapan sendiri yang kita lakukan, yang menyebabkan DPMM dapat menggunakan peluang untuk menjadikan gol," ujarnya.

"Dua gol itu pun daripada kesilapan kita sendiri, kita menyerang dan kita membuat kesilapan, kita hilang bola dan pasukan lawan membuat serangan balas.
"Jadi di situlah saya rasa kelemahan kitalah. Kita kena steady dari segi defending, kena solid lagilah.
"Jadi kita memberi ruang kepada pihak lawan untuk mengambil kesempatan itu untuk menjaringkan gol," ulasnya kepada pemberita.
Ketua Jurulatih itu mengakui kecewa selepas TFC gagal melangkah ke suku akhir, namun tetap memuji usaha pemain yang disifatkannya telah memberikan yang terbaik dalam perlawanan semalam.
"Saya rasa agak begitu kecewalah kerana kita tidak layak ke suku akhir. Apa pun, pemain telah berusaha 'fight' untuk memberikan yang terbaik malam ini.
"Saya rasa kita dah memberikan permainan yang baik cuma dari segi pertahanan, dari segi menyerap tekanan pihak lawan itu kita perlu tingkatkan lagilah," katanya.
TFC kini mempunyai tempoh rehat sebelum membuka kempen Liga Super menentang juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 18 Oktober, bertempat di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.