• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Baik Pulih Selesai, Masjid Kristal Tersedia Untuk Solat Tarawih

KUALA TEREGGANU, 16 Mac - Masjid Kristal yang terletak di Taman Tamadun Islam Pulau Wan Man, di sini, dijangka dapat digunakan untuk solat tarawih tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, kerja-kerja membaiki sebahagian besar kerosakan masjid berkenaan sedang berjalan di peringkat akhir.

“Kita dapat makluman, sehingga hari ini kerja-kerja baik pulih Masjid Kristal berjalan mengikut perancangan, hampir selesai.

“Diharap ia siap sebelum Ramadan bagi membolehkan Masjid Kristal digunakan untuk solat tarawih,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu Masjid Kristal pada sidang media sempena penganjuran program Karnival Beautiful Terengganu 2022 di Bilik Mesyuarat Jabatan Pelancongan Negeri, semalam.

Difahamkan, kerja baik pulih masjid tersebut yang sepatutnya siap lebih awal tertangguh disebabkan beberapa masalah termasuk kekangan peruntukan, kontraktor dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Masjid Kristal yang dibina dengan kos RM22 juta itu menjadi antara ikon pelancongan negeri kerana seni bina yang unik menggunakan kaca dan keluli selain dibina di tebing Sungai Terengganu.

Ia mula rosak sejak 2013, namun akibat tindakan lewat diambil daripada pihak berkuasa ketika itu kerosakkan bertambah teruk dan terjejas hingga 2017.