• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Bajet 2018 : Hab Digital Suntik PKS Berdaya Saing


Cadangan mewujudkan hab digital Kuala Terengganu dalam pembentangan Bajet Terengganu 2018 semalam, seiring dengan kedudukan Malaysia yang kini muncul antara pasaran e-perdagangan di peringkat global membabitkan janaan pendapatan mencecah RM9.53 bilion tahun lalu.

Pengarah SME Corp. Malaysia Terengganu, Muhammad Ibrahim berkata, dalam perbentangan Bajet Terengganu 2018 oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman itu menggariskan empat tunjang utama melibatkan 60 `touchpoint' yang merangkumi semua sektor termasuk berkenaan ekonomi digital.

Menurutnya, cadangan di bawah touchpoint ke-23 iaitu cadangan mewujudkan Hab Digital Kuala Terengganu merupakan inisiatif kerajaan yang tepat dalam memastikan sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Terengganu dalam talian sentiasa mengikuti trend terkini untuk terus kekal berdaya saing.

"Selain memperkemaskan pangkalan data pelanggan dan sentiasa seiring dengan perubahan teknologi maklumat semasa. Ini termasuk pembangunan ekonomi digital yang lebih berinovasi, sekali gus mewujudkan suatu konsep jaringan perdagangan rentas sempadan di peringkat global.

"Perubahan yang dicetuskan oleh pendigitalan bukan saja berperanan dalam melonjakkan pertumbuhan ekonomi, tetapi merangkumi peningkatan permintaan pekerja berkemahiran tinggi serta membuka peluang pekerjaan baru.

"Hab Digital ini mampu bertindak sebagai faktor pemangkin terutama kepada golongan usahawan muda Terengganu supaya sentiasa peka dengan perubahan landskap ekonomi semasa yang kini menuju gelombang Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) yang bersandarkan kepada penggunaan teknologi terkini dan industri berasaskan pengetahuan," katanya.

Menurutnya lagi, kecanggihan teknologi digital akan mengubah cara perniagaan dijalankan seperti blok rantaian, mata wang digital, urus niaga atas talian dan transaksi tanpa tunai yang menjadi perkara biasa baharu dalam ekosistem keusahawanan dan perniagaan.

"PKS Terengganu juga perlu meletakkan perniagaan mereka pada ekosistem yang tepat untuk bersaing pada peringkat global terutamanya melalui Zon Perdagangan Bebas Digital (Digital Free Trade Zone) yang baru dilancarkan pada tahun ini. DFTZ yang merupakan hasil kerjasama dengan syarikat e-dagang terkemuka, Alibaba adalah di peringkat awal dan akan menggabungkan zon fizikal dan maya dengan perkhidmatan tambahan dalam talian dan digital bagi kemudahan e-dagang antarabangsa serta memacu inovasi berasaskan internet.

"Walaupun PKS Terengganu masih berorientasikan pasaran domestik, tetapi trend sudah mula menunjukkan peningkatan dalam menjalankan perniagaan secara digital dan ini merupakan satu petanda yang cukup positif. Mengikut kajian oleh SME Corp. Malaysia, pada tahun 2017, terdapat peningkatan sebanyak 4.7 peratus PKS Terengganu berbanding 2.5 peratus pada tahun 2016 menunjukkan usahawan Terengganu yang menjalankan perniagaan mereka melalui atas talian," katanya.

Tag: