• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

Bajet 2019: Pasir Silika Mampu Hasil Baju Kesihatan


KUALA TERENGGANU, 28 November- Industri silika dilihat bakal menjadi sektor pelaburan yang berdaya tinggi baharu di Terengganu apabila ramai pelabur menunjukkan minat  termasuk dari Taiwan yang menyatakan persetujuan menjadikan pasir silika sebagai bahan utama dalam pembuatan baju kesihatan.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah & Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’  Tengku Hassan Tengku Omar berkata, keistimewaan baju kesihatan itu mengesan pelbagai penyakit termasuk demam.

Katanya, perkara itu semakin positif apabila Kedutaan Taiwan menghantar pasukan khas ke Terengganu untuk kajian mendalam mengenai perkara itu .
“Kerajaan akan membuat susulan mengenainya agar benar-benar memberi faedah kepada ekonomi Terengganu, termasuk peluang pekerjaaan kepada rakyat.

“Manakala, pelabur negara lain mahu membina hotel bertaraf lima bintang di salah sebuah pulau yang menawarkan kadar sewa antara RM3,000 hingga RM4,000 semalam,”katanya.

Beliau berkata demikian  ketika menjawab soalan Muhammad Khalil Abdul Hadi (PAS-Batu Buruk) dalam sesi soal jawab di Sidang Dewan Undangan Negeri, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Tengku Hassan memberitahu industri silika di Terengganu berpotensi terus berkembang baik, apabila pihaknya turut didatangi pelabur dari Arab Saudi dan Bangladesh tiga hari lalu, yang turut menyatakan kesudian untuk melabur.

“Namum begitu, kerajaan tetap mengambil pendekatan berhati-hati kerana bimbang ditipu. Pengalaman sebelum ini, ada pelabur yang  menyatakan persetujuan dan sudah pun menandatangani penjanjian, menarik diri di saat akhir.

“Keadaan itu pastinya merugikan kerajaan kerana sebaik persetujuan dibuat kerajaan bersetuju menyediakan tapak industri dengan membelanjakan peruntukan RM13 juta. 
Mengelak daripada perkara itu berulang, kerajaan akan mengenakan syarat-syarat tertentu kepada pelabur,”katanya.


Tag: