• 24 Okt 2024 | 21 Rabiul Akhir 1446

Bajet 2019 : Projek Jelapang Fasa Dua Tingkat Pengeluaran Padi



KUALA TERENGGANU, 28 November- Kerajaan negeri akan menjalankan projek jelapang padi fasa dua dengan menambah 5,046 hektar kawasan luar jelapang ke kawasan jelapang sebagai usaha untuk meningkatkan keluasan sawah padi di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, penambahan projek jelapang yang baharu akan meningkatkan jumlah keluasan kawasan dalam jelapang negeri ini kepada 10,369 hektar.

Menurut Dr Azman, permohonan penambahan kawasan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi Jabatan Pertanian negeri pada April lalu dan kini berada pada peringkat pelaksanaan dasar oleh Kerajaan Pusat.

“Setakat ini, jumlah keluasan kawasan penanaman padi di Negeri Terengganu ialah 12,542 hektar dimana 5,323 hektar adalah kawasan dalam jelapang, sementara 7,221 hektar lagi kawasan luar jelapang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Sulaiman Sulong (PAS -Pengkalan Berangan) mengenai langkah diambil kerajaan untuk menampung pengeluaran padi di negeri ini dalam sesi soal jawab lisan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Iman, di sini, kelmarin.

Dr Azman berkata, kawasan dalam jelapang merupakan kawasan yang diberikan fokus oleh negara sebagai kawasan pengeluaran padi beras negara dengan dilengkapkan segala keperluan dan infrastruktur untuk penanaman padi dua kali setahun.

“Ianya mempunyai bekalan air yang dan pengairan yang mencukupi dimana terdapat 12 jelapang padi seluruh negara.

“Manakala kawasan luar jelapang kurang diberikan tumpuan, bekalan air kebiasaannya bergantung kepada air hujan dengan tali air sokongan dari JPS dan penanaman padinya kebiasaan sekali setahun,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, pengeluaran padi beras oleh kawasan jelapang padi di Terengganu berjumlah 52,000 matrik tan setahun hanya mampu memenuhi sekitar 53 peratus kadar kecukupan sara diri (SSL) rakyat negeri ini.

“Maknanya kita memerlukan sekitar 47 peratus lagi untuk cukupkan keperluan rakyat Terengganu dan Projek Jelapang Padi Fasa Dua merupakan salah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan jumlah pengeluaran padi negeri ini,” ujarnya.

Tag: