• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Bajet 2019: Terima Kasih Tun M Teruskan Projek Tertangguh-MB


KUALA TERENGGANU, 28 November- Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Terengganu merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dibawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad atas keprihatinan beliau menyediakan peruntukan untuk meneruskan beberapa projek di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang tertangguh sebelum ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, terdapat lapan projek di bawah JPS akan dilaksanakan bagi tahun 2019 yang sebelum ini ditangguhkan oleh Kementerian Kewangan oleh sebab tertentu.

“Projek-projek berkenaan adalah Rancangan Tebatan Banjir Kemasik dengan anggaran RM60 juta, Rancangan Tebatan Banjir Guntong Luar (RM5 juta) serta Rancangan Tebatan Banjir Gong Kiat (RM7 juta).

“Juga Rancangan Tebatan Banjir Kuala Terengganu Utara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan kawasan sekitar (RM10 juta), Pembangunan Sungai Bersepadu Kemaman (RM300 juta), Projek Muara Sungai Setiu (RM150 juta), Projek Muara Sungai Merchang (RM43 juta) dan Projek Menaik Taraf Air Taman Rakyat Dungun (RM1. 5 juta),” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Dr. Samsuri berkata, beliau bagi pihak kerajaan negeri dan seluruh rakyat Terengganu menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan diatas pertimbangan yang sedemikian dan berharap semua projek tersebut dapat dilaksanakan dengan efisien untuk kepentingan rakyat negeri ini khususnya.

Tag: