• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Bajet 2019: Ucapan Penggulungan YAB Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri



KUALA TERENGGANU 28 November-

MUQADDIMAH

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,
Ahli-ahli Yang Berhormat

1. Alhamdulillah marilah merafakkan kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana memberikan kesempatan kepada kita untuk berada dalam dewan yang mulia ini bagi melaksanakan amanah Allah dan rakyat sebagai Ahli Yang Berhormat.

2. Izinkan saya untuk mengambil kesempatan ini bagi merakamkan
ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua Ahli Yang Berhormat, khususnya di atas pandangan yang bernas dan membina samaada dari pihak kerajaan mahupun bukan kerajaan.
Begitu juga kepada Ahli Yang Berhormat yang mengambil bahagian dalam perbahasan Enakmen Perbekalan 2019.

3. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua Ketua Jabatan, Pegawai Kerajaan, Pemerhati dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam persidangan kali ini. Tidak lupa juga kepada rakan-rakan media yang memberikan liputan terbaik sepanjang Sidang Dewan Undangan Negeri berlangsung. Semoga penglibatan semua dikurniakan ganjaran yang setimpal di sisi Allah SWT.

Surat At-Taubah Ayat 105
Bermaksud : Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu(akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan"

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

4. Beberapa isu telah dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat mengenai royalti dan sumber hasil negeri. Sebahagian daripadanya telah dijawab ketika sesi soalan-soalan lisan dan bertulis. Walaupun begitu saya ingin menyatakan komitmen jitu Kerajaan Negeri, bahawa kita akan membentuk satu jawatankuasa khas yang
melibatkan Ahli Yang Berhormat daripada kerajaan dan bukan kerajaan di atas kebersamaan untuk menyelesaikan isu
pembayaran royalti petroleum.

Ini adalah hasil daripada budaya politik matang dan sejahtera yang juga wajar diikuti secara bersama oleh semua lapisan masyarakat. Termasuklah kerajaan diperingkat persekutuan dalam menyelesaikan masalah rakyat.

5. Sehubungan dengan itu, saya juga amat terharu dan teruja dengan tawaran daripada 2 mantan Menteri Besar yang telah menyatakan komitmen untuk bersama Kerajaan Negeri memperjuangkan hak royalti Rakyat Negeri Terengganu. Semoga dengan kerjasama ini, akan membuahkan hasil yang menguntungkan semua rakyat Negeri Terengganu.

6. Berkenaan isu Telaga Minyak Bertam yang dibangkitkan oleh sahabat saya Ahli Yang Berhormat Seberang Takir, Kerajaan Negeri optimis berdasarkan maklumat semasa dan fakta sejarah, Insya-Allah akan ada sinar dihujung terowong. Namun ia memerlukan penentuan melalui Jawatankuasa Bersama Teknikal (JBT) yang
dipengerusikan bersama oleh Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang dan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Terengganu.

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua,

7. Saya telah dimaklumkan mengenai status projek yang telah diluluskan di bawah rolling plan (dengan izin) ketiga (RP3) dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), bahawa Kerajaan Persekutuan akan meneruskan projek menaik taraf /menggantikan jambatan sedia ada di FT003/448/60 Dungun, Terengganu.

Selain itu, projek jalan raya Simpang Pulai – Lojing – Gua Musang - Kuala Berang, pakej 8 turut akan diteruskan dengan tender terbuka pada tahun 2019.

8. Projek-projek berikut juga disenaraikan untuk diteruskan :……….

Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dibawah kepimpinan YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir di atas persetujuan ini.

9. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri juga telah mengadakan perbincangan dengan pihak Felda Wilayah Timur, Insya-Allah banyak perkara yang telah dibincangkan untuk kebaikan bersama antara Kerajaan Negeri, Felda dan para peneroka.

10.Mengenai perkara yang dibangkitkan oleh Adun Kemasik, Industri hiliran (downstream) (dengan izin) adalah industri yang mengguna pakai bahan mentah atau raw material yang kemudiannya ditambah nilai (value-added) (dengan izin) untuk menjadi sesuatu yang lebih bernilai. Sebagai contoh pasir silika yang dijual secara raw material mempunyai harga yang rendah. Namun sekiranya ia diproses menjadi silica nugget seperti ini...nilainya akan meningkat. Seterusnya jika ia diproses menjadi finished product (dengan izin) labu sayung seperti ini maka harganya akan
meningkat lebih tinggi. Proses ini secara tidak langsung juga akan memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.


Usaha-usaha kerajaan untuk menarik pelabur dari industri hiliran masuk ke Terengganu adalah sebagaimana berikut:

a) Mewujudkan perhubungan yang baik dengan pelabur-pelabur sedia ada sebagai langkah menggalakkan syarikat berkenaan meningkatkan pelaburan mereka dan menarik pelabur-pelabur yang menjadi pelengkap kepada produk mereka. Sebagai contoh sebuah kilang kereta yang dibuka akan membawa kepada pembukaan kilang tayar, bateri, besi dan elektronik.

b) Menyertai misi-misi pelaburan anjuran Malaysia Investment Development Authority (MIDA). Penyertaan Kerajaan Negeri ke dalam misi pelaburan ini amat penting kerana ini adalah peluang
Kerajaan Negeri untuk mengadakan sesi business matching secara terus dengan pelabur-pelabur.

c) Bekerjasama dengan MATRADE dalam mempromosikan peluang-peluang pelaburan di Negeri Terengganu untuk menarik pelabur luar negara.

d) Mengadakan hubungan yang baik dengan agensi-agensi pelaburan seperti MIDA dan ECERDC dalam usaha menarik para pelabur ke Negeri ini. Saya juga telah menerima surat pelantikan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana dan Penyelarasan (ICC) Negeri Terengganu pada 8 November 2018. Terima kasih saya ucapkan kepada YAB Perdana Menteri di atas kepercayaan ini.

e) Mengeratkan hubungan dengan NGO-NGO yang berkait rapat dengan sektor industri sebagai contoh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina
dan Dewan Perniagaan India Muslim Terengganu. Melalui jalinan perhubungan ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri di dalam usaha mempelbagaikan industri di Negeri Terengganu dan
ini tidak hanya terhad kepada pelabur asing sahaja.

f) Mengenal pasti potensi kawasan-kawasan industri baharu yang mampu menarik minat pelabur. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri akan mengenal pasti kawasan-kawasan industri baharu yang
berhampiran dengan perkhidmatan logistik dan lebuh raya. Ini juga dibincangkan dalam mesyuarat pertama ECERDC yang
dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada 31 Oktober 2018.

g) Menambah baik sistem penyampaian untuk memastikan permohonan pelaburan dapat diluluskan dengan lebih cekap dan
efisien. (Semua birokrasi permohonan pelaburan akan dipermudahkan tanpa meminggirkan kepentingan aset dan rakyat Terengganu)

h) Membantu pelabur untuk menikmati skim galakan pelaburan yang menarik daripada agensi pelaburan seperti MIDA dan ECER.

11.Sebagai langkah memperkukuhkan prestasi syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan, kita telah mengenal pasti perkara yang perlu dipertingkatkan dan meneruskan rationalization and segmentation plan (dengan izin). Pelan ini bertujuan untuk mengkategorikan anak-anak syarikat mengikut sektor perniagaan supaya tiada persaingan dan pertindihan fungsi antara anak-anak syarikat. Pada
masa yang sama anak-anak syarikat dapat berkembang dan sekaligus meningkatkan ekonomi negeri serta memberi manfaat
kepada rakyat.

12.Bagi melaksanakan penambah baikan terhadap anak-anak syarikat Terengganu Inc, kita telah melantik ICC Consultant Center yang sedang melaksanakan kajian Terengganu Incorporated Group
Organization Design and Corporate Transformation Excericse (dengan izin) dalam usaha meningkatkan keberkesanan Organisasi syarikat.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

PENUTUP

13.Saya difahamkan bahawa keputusan UPSR akan diumumkan esok.

Dikesempatan ini marilah kita mendoakan agar semua pelajar-pelajar anak Terengganu yang telah menduduki UPSR beroleh kejayaan dengan cemerlang. Saya juga ingin mengucapkan ribuan
terima kasih dan sejuta penghargaan terhadap dedikasi dan pengorbanan para guru, semua warga sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru dalam mendidik anak-anak Terengganu.

14.Kerajaan Negeri amat menghargai peranan wanita dalam pembangunan Negeri Terengganu. Sumbangan mereka tidak dapat dinafikan bahkan sangat signifikan. Bagi memartabatkan lagi peranan kaum wanita, maka Kerajaan telah memutuskan untuk membawa cadangan bagi melantik seorang Adun Wanita berdasarkan fasal 27(2) Undang-undang bagi diri Kerajaan Terengganu yang akan mewakili suara semua wanita Negeri Terengganu.

15.Bajet 2019 yang bertemakan Negeri Berkat, Rakyat Sejahtera merupakan satu bajet yang menyeluruh dan memenuhi aspirasi serta keperluan rakyat. Malah melalui bajet ini juga, Kerajaan Negeri akan menunaikan 12 daripada 20 manifesto Pilihanraya Umum Ke 14.

16.Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazali telah menukilkan satu nasihat kepada para pemimpin dalam kitabnya yang masyhur (Al-Tibru al-Masbuk fi Nasihatil Muluk) 1 untuk memberikan perhatian terhadap tiga perkara. Pertama, apabila rakyat meminta belas kasih, maka pemimpin wajib memberinya. Kedua, apabila menghukumi
rakyat, maka pemimpin wajib berlaku adil. Ketiga, pemimpin mestilah melaksanakan apa yang telah dikatakan.

17.Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan tahniah kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah sama-sama menghayati Budaya Politik Matang dan Sejahtera dalam perbahasan bajet 2019. Semoga budaya ini dapat diteruskan dan dicontohi oleh semua pihak bagi melahirkan sikap ta’awun (kerjasama) dalam perkara-perkara yangmendatangkan kebaikankepada rakyat dan negeri.

Al-Maidah Ayat 2
Bermaksud : Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

18.Akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua dan semua Ahli Yang Berhormat yang berpartisipasi dalam perbahasan sepanjang sidang DUN ini dijalankan.

Dari Kuala Besut berlayar ke Tanjung Lipat,
Sampan berlabuh di Pulau Kapas,
Marilah kita bulatkan sepakat,
Jangan dikenang perkara yang lepas.

Mencari sejarah di Tanjung Guliga,
Untuk dibawa ke Teluk Bidara,
Orang Terengganu hatinya mulia
itulah Negeri Maju Berkat dan Sejahtera

Sekian, Terima Kasih

Tag: