• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

BAJET 2022 : Majlis Walimatul Urus Perdana Kembali

KUALA TERENGGANU, 15 November - Tradisi perkahwinan beramai-ramai secara percuma atau Majlis Walimatul Urus Perdana yang dianjurkan oleh Kerajaan Terengganu kembali diteruskan pada tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta.

Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata setelah dua tahun ditangguhkan, ia akan dianjurkan semula bagi meringankan beban golongan belia untuk mendirikan rumah tangga.

“Perbelanjaan tersebut bakal melibatkan 400 pasangan di seluruh parlimen di negeri ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2022 Terengganu sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kali Ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman Hari ini.

Tambah Ahmad Samsuri, peruntukan berkenaan bagi meningkatkan kesejahteraan institusi kelurga dan masyarakat di Terengganu.

Untuk rekod, Majlis akad nikah dan resepsi dikendalikan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) bertujuan membantu meringankan bebanan ahli keluarga yang tidak berkemampuan selain memudahkan proses perkahwinan.