• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

BAJET 2022 : RM2 Juta Untuk Usahawan Belia Mula Berniaga

KUALA TERENGGANU, 15 November - Kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta untuk Geran Tunas Usahawan bagi menggalakkan keusahawanan di kalangan belia di Terengganu.

Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata geran tersebut bernilai antara RM3,000 hingga RM5,000 kepada belia yang berminat.

"Geran ini disediakan kepada golongan belia yang serius mahu menjalankan perniagaan setelah tamat latihan keusahawan intensif," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan  Belanjawan Tahun 2022 di Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Menurut Ahmad Samsuri lagi, RM60 ribu turut diperuntukan untuk melaksanakan program 'Business Pitching and Matching' bagi mereka yang berminat menceburi bidang keusahawanan.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga akan menyediakan latihan pemahiran semula dan peningkatan secara percuma di institusi latihan milik kerajaan negeri seperti TATIUC dan TESDEC.

"Ia terbuka kepada 1,600 individu yang dilaporkan kehilangan pekerjaan semasa pandemik melanda bagi meningkatkan keupayaan kendiri,"ujarnya.