• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

BAJET 2023: Bonus RM900 Untuk Penjawat Awam Terengganu

KUALA TERENGGANU, 28 November - Kerajaan negeri hari ini mengumumkan pemberian bonus RM900 kepada kira-kira 14,000 penjawat awam termasuk kakitangan kontrak di Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata ia sebagai menghargai jasa penjawat awam menggerakkan jentera kerajaan demi menjamin perkhidmatan terbaik disampaikan kepada rakyat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, kerajaan negeri turut mengumumkan bantuan tunai 'one-off' bernilai RM150 kepada golongan belia bagi menyokong kewangan mereka.

"Bantuan ini dijangkakan akan memberi manfaat kepada lebih 160,000 orang di Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2023  pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-5 Dewan Undangan Negeri ke-14 (Bajet) di sini hari ini.

Tambahnya, pemberian bonus dijangka dibuat pada Januari tahun hadapan.

Tambah Ahmad Samsuri lagi, kerajaan negeri turut mengumumkan bantuan tunai 'one-off' bernilai RM150 
bagi membantu sekitar 2,600 orang pengawal keselamatan sebagai sokongan untuk menyara kehidupan mereka.