• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Bajet 2023: Dua Lagi SRIDI, SMIDI Bakal DIbina

KUALA TERENGGANU, 29 November – Kerajaan negeri melalui Pembentangan Belanjawan Negeri 2023 semalam menyatakan bakal membina dua buah lagi sekolah kelolaan kerajaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata masing-masing merupakan sebuah Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan sebuah Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI).

“Penubuhan SRIDI dan SMIDI mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Sehingga kini, 11 buah SRIDI dan sebuah SMIDI telah ditubuhkan dengan jumlah murid seramai 1,658 orang dan 152 orang guru.

“Susulan itu, sebanyak RM11 juta lagi diperuntukkan bagi pembinaan SRIDI Seberang Takir dan SMIDI Ajil yang baharu dan sebanyak RM23 juta pula diperuntukkan untuk mengoperasikan semua SRIDI dan SMIDI,” katanya.  

Beliau berkata demikian dalam ucapan Belanjawan Terengganu 2023 Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempar Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Di samping itu, kerajaan juga berhasrat mewujudkan Tabung Pendidikan Islam Negeri Terengganu dengan sasaran RM1 juta. 

“Kita (kerajaan) turut memperuntukkan sebanyak RM3.5 juta sebagai bantuan per kapita untuk sekolah agama yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

“Justeru, saya mengalu-alukan semua GLC, pihak swasta dan orang awam untuk turut menyumbang kepada tabung ini demi menjamin kecemerlangan anak-anak kita dalam kedua-dua kurikulum diniyyah dan kebangsaan,” tambahnya.

Semalam, Kerajaan Negeri membentangkan Belanjawan bagi 2023 dengan jumlah RM1.991 bilion bertemakan ‘Memacu Terengganu Berdaya Tahan’


Tag: