• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

BAJET 2023: Imam dan Bilal Dinaikkan Elaun, Terima Bantuan ‘One-Off’

KUALA TERENGGANU, 28 November - Kerajaan negeri bakal meningkatkan elaun kepada hampir 1,000 orang imam dan bilal serta bantuan ‘one-off’ buat 200 individu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemberian tunai tersebut bagi menghargai khidmat mereka dalam mengimarahkan masjid dan surau.

“Imam dan bilal adalah antara individu yang penting dalam memastikan masjid dan surau kita sentiasa diimarahkan.

“Justeru, sebagai penghargaan, saya mengumumkan pemberian tunai ‘one-off’ bernilai RM200 kepada 200 orang imam dan bilal Skim Mubaligh; dan menaikkan elaun hampir 1,000 orang imam dan bilal di negeri ini sebanyak RM100 sebulan bagi yang tidak mempunyai pendapatan tetap,” katanya.

Dalam masa yang sama, kerajaan turut menyediakan peruntukan untuk membina lapan buah masjid baru di samping menyelenggara serta menaik taraf masjid dan surau seluruh negeri.

“Kita (kerajaan) memperuntukkan sebanyak RM4.5 juta untuk menyelenggara serta menaik taraf masjid dan surau di seluruh negeri.

“Sebanyak RM20 juta lagi diperuntukkan bagi meneruskan pembinaan lapan buah masjid baharu di enam daerah bermula tahun depan,” jelasnya dalam Pembentangan Belanjawan 2023 Terengganu di Sidang DUN hari ini.

Selain itu, usaha memakmurkan masjid sebagai 'one-stop centre' sebagai pusat ibadah, keilmuan dan kemasyarakatan memperuntukkan sebanyak RM640 ribu melibatkan masjid terpilih di setiap DUN. 


Tag: